Berita Utama

Najib kata akaun bank peribadi terima elaun kena beku

Bekas PM anggap tindakan terhadapnya ibarat langkah 'draconian'

BANGI, 27 Syawal 1439H, Rabu – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, akaun bank beliau yang hanya digunakan untuk menerima elaun sebagai wakil rakyat dan pencen Menteri Besar, sudah dibekukan sejak minggu lalu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook beliau hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau menyedari akaun bank itu dibekukan minggu lalu selepas cek yang dikeluarkannya tidak laku.

Katanya, ramai yang tahu, akaun bank anak dan cucu beliau telah dibekukan tanpa sebarang notis selepas bayaran ikat jamin pertama dibuat pada Rabu lalu.

“Mengapa anak-anak saya turut tertakluk kepada layanan seumpama itu biarpun mereka sebahagian dari sebarang transaksi malah tidak pernah menerima sebarang kontrak atau membuat urusan perniagaan dengan kerajaan?

“Selain itu, ramai yang tidak tahu akaun peribadi saya juga dibekukan minggu lalu. Akaun bank ini tidak mempunyai sebarang transaksi lain kerana ia digunakan untuk menerima gaji saya sebagai Ahli Parlimen dan pencen sebagai Menteri Besar Pahang selepas berkhidmat untuk kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Tetapi, Najib berkata, pagi tadi, beliau difahamkan bahawa akaun anak-anak saya sudah dilepaskan daripada pembekuan dan ini menunjukkan tindakan itu dibuat tanpa sebarang asas.

“Bagaimanapun, akaun peribadi saya tetap dibekukan. Akaun ini tidak ada kena mengena dengan politik. Ia tidak ada kaitan dengan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa. Saya hanya menyedari akaun ini dibekukan apabila cek peribadi saya bagi pembayaran perubatan anak saya tidak diterima,” katanya.

Menyifatkan perbuatan agensi terbabit dan masa diambil untuk membekukan akaunnya senbagai tidak wajar, beliau melahirkan kekecewaan dengan tindakan ini, waktu ia dilakukan, yang dianggap satu tindakan ‘draconian’ atau menindas oleh kerajaan hari ini.

“Mengapa kebebasan peribadi dinafikan setelah mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap saya sementara menunggu perbicaraan dan fakta bahawa saya telah mematuhi syarat ikat jamin ditetapkan mahkamah?,” katanya.

Najib berkata, ada yang membuat spekulasi bahawa waktu ia dilakukan bagi pembekuan akaun ini, adalah bagi menafikan atau menghalang usaha saya mendapatkan wang membayar ikat jamin dan jika dilihat secara keseluruhannya, ia sekali gus menggambarkan suatu niat buruk mahu dilakukan terhadap saya.

“Ini semua berlaku di sebalik kerjasama penuh yang sudah saya berikan kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

“Pihak berkuasa perlu tahu saya juga rakyat biasa. Sebagai ketua keluarga, saya juga mempunyai bil untuk dibayar, bil perubatan untuk dijelaskan dan sebuah keluarga untuk dijaga. Tindakan pihak berkuasa membekukan akaun bank saya ini menyebabkan pelbagai kesukaran dan kepayahan untuk saya laksanakan tanggungjawab ini.

“Sebagaimana rakyat lain, saya berhak untuk mengakses kebebasan peribadi saya sehingga perbicaraan selesai. Saya memohon semua pihak berkaitan untuk berpegang kepada keluhuran undang-undang dan siasatan tidak berbelah-bahagi,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close