Berita UtamaUtama

Lucut kerakyatan peguam jahil sejarah, gesa netizen

Fadiah hilang jati diri, malukan bangsa Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Syawal 1439H, Rabu – Kenyataan melampau peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang mempertikaikan sistem monarki di negara ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan di kalangan NGO-NGO Islam, malah turut menerima kecaman pengguna di media sosial.

Rata-rata netizen mengecam dan meluahkan rasa marah terhadap Fadiah yang dianggap melampau mempertikaikan kewujudan sistem beraja di Malaysia, kerana menyifatkan ia sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh lagi dipertahankan.

Kebanyakan netizen juga mendesak supaya kerajaan yang kini diterajui Pakatan Harapan mengambil serius, termasuk bertindak melucutkan kerakyatan peguam itu.

“Eloklah lucut kerakyatan si tomato ini, dia ingat dia dah besar kot,” tulis Adam Hakimi.

“Akta Hasutan. Buang sahaja kerakyatan budak ini,” kata Hamdan Zakaria.

“Strategy order dunia baru ialah hanya orang dari bangsa yang sama saja boleh membunuh bangsanya, jadi musuh tak perlu masuk gelanggang. Dia hanya perlu menghasut, menyokong pengkhianat bangsa itu untuk menghalalkan cara. Kalau musuh masuk gelanggang sukar untuk meruntuhkan bangsa tersebut,” tulis Razali Noor.

Tindakan Fadiah itu juga mengundang kebimbangan pengguna media sosial, berikutan keberaniannya bersuara menyentuh dan mempersoalkan sistem beraja negara.

“Kenapalah Melayu sekarang semakin berani dan tak sedar diri. Nilai kemelayuan mungkin semakin nipis agaknya, asal usul dah tak kenal dan hilang,” tulis Deey Yazid.

“England juga ada raja (queen), lagi maju dari Malaysia. Tak ada pun rakyat mereka nak buang raja. Raja payung negara, tunggak agama, ketua bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” kata Zydan Rizqin.

Sementara, Faizal Rafdzi mengutuk kenyataan Fadiah dan menyifatkan dia sebagai tidak tahu sejarah sehingga berani mempertikaikan perkara seumpama itu.

“Aku perasan sejak lepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), orang-orang Pakatan Harapan dan seangkatannya cakap merapu saja,” kata Azmy Ahmad.

Fadiah dalam tulisannya “Don’t Kiss The Hands That Beat You” yang disiarkan di laman Facebook Malaysia Muda semalam, mempertikai kewujudan sistem beraja di Malaysia yang pada pendapatnya sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh lagi diterima atau dipertahankan.

“Meletakkan satu kelas manusia lebih tinggi daripada manusia lain hanya kerana mereka dilahirkan di kalangan golongan bangsawan adalah satu pemikiran yang memualkan – satu pemikiran yang bertentangan dengan nilai kebebasan dan martabat insani,” katanya.

Fadiah menulis demikian dipercayai merujuk kepada perbuatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membongkok dan mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada pertemuan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Susulan kenyataannya itu, dia dipanggil hadir ke Balai Polis Brickfields jam 4 petang ini, selepas beberapa laporan dibuat terhadapnya sejak semalam.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close