Berita UtamaUtama

Jho Low lari dari Macau: KPN

Perkembangan terkini menyulitkan siasatan ke atas 1MDB

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1439H, Rabu – Hartawan Malaysia yang paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai telah melarikan diri dari Macau ke lokasi lain yang tidak diketahui.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Bukit Aman hanya menerima maklumat daripada pihak berkuasa Macau pada 9 Julai, bahawa Jho Low telah meninggalkan wilayah itu.

“Kita telah menerima makluman menerusi e-mel daripada pihak berkuasa disana yang mana dia (Jho Low) telah meninggalkan wilayah tersebut.

“Bagaimanapun kita tidak menerima sebarang maklumat ke mana beliau pergi setakat ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, perkembangan terbaharu itu akan menyulitkan lagi siasatan polis ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, Bukit Aman telah mengeluarkan notis merah Interpol, termasuk menghantar pasukan ke Hong Kong untuk mengesan ahli perniagaan itu.

“Ketika pasukan kita tiba di Hong Kong, kita dapat maklumat dia sudah melarikan diri ke Macau,” katanya.

Jho Low adalah antara individu yang paling dikehendaki pihak berkuasa ketika ini, kerana didakwa terlibat dengan kes penyelewengan dan salah guna kuasa dana 1MDB.

8 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Jho Low kini bersembunyi di negara, yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta ahli perniagaan itu tampil menghubungi agensi berkenaan bagi membantu siasatan kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close