Berita UtamaDuniaUtama

13 mangsa terperangkap dalam gua berjaya dikeluarkan

400 organisasi sumbang peralatan bantu misi menyelamat

BANGKOK, 27 Syawal 1439H, Rabu – Kumpulan terakhir empat pemain pasukan bola sepak ‘Mu Pa’ dan jurulatih mereka, Ekapol Chantawong berjaya dibawa keluar dengan selamat dari gua Tham Luang di Chiang Rai, untuk mengakhiri operasi menyelamat yang berisiko itu.

Sepanjuang operasi selama tiga hari, pasukan penyelamat dari pelbagai negara berjaya mengeluarkan kesemua 13 mangsa yang terperangkap dalam gua yang ditenggelami air. Jurulatih mereka berusia 25 tahun dikenali dengan gelaran “Ekk” ialah orang terakhir yang dibawa keluar dengan selamat.

“Dua belas pemain bola sepak Ma Pu dan jurulatih mereka keluar dari gua itu dengan selamat. Kami sekarang menunggu bagi keempat-empat remaja, demikian disahkan oleh Unit SEAL Tentera Laut Thailand menerusi catatan dalam laman Facebook bagi mengumumkan kejayaan menyelamat remaja lelaki tersebut bersama jurulatih mereka.

Empat penyelam termasuk seorang doktor yang ditempatkan untuk memantau remaja terbabit keluar dengan selamat dari gua dan berada dalam keadaan baik, kata unit elit itu yang menjadi tulang belakang operasi menyelamat bersama beberapa pasukan penyelamat dari negara asing.

“Kami tidak pasti sama ada ini satu keajaiban, sains atau apa-apa. Kesemua 13 remaja sekarang telah dibawa keluar dari gua,” kata Unit SEAL Tentera Laut menerusi satu lagi catatan dalam laman Facebook.

Lima mangsa yang diselamatkan hari ini telah dibawa ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk menjalani pemeriksaan bersama lapan remaja lagi yang menjalani rawatan perubatan di hospital yang sama.

Pasukan penyelamat mula menggerakkan usaha terakhir untuk menyelamatkan lima mangsa terakhir yang masih terperangkap dalam gua kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Dalam operasi yang berani dan berisiko yang dilancarkan pada Ahad dan semalam, pasukan penyelamat terpaksa mengharungi laluan sempit dan air yang keruh dalam gua sebelum berjaya membawa keluar kelapan-lapan remaja itu yang terperangkap sejak 23 Jun.

Sementara itu, bekas gabenor Chiang Rai, Narongsak Ossothanakorn dalam taklimat kepada media malam ini di Chiang Rai dan menyifatkan operasi menyelamat itu untuk menyelamat 13 remaja dan jurulatih mereka sebagai “misi tercapai” walaupun banyak yang menggambarkannya sebagai “misi mustahil’ sebelumnya.”

“Kami telah menyelamatkan semua mangsa. kami telah berjaya,” kata beliau pada taklimat media yang penuh sesak yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan dan Facebook, dan menambah hampir 400 organisasi menyumbang peralatan untuk membantu dalam misi menyelamat.

Beliau berkata, kumpulan pertama remaja dibawa keluar dari gua kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan) dan diikuti empat lagi diselamatkan termasuk jurulatih mereka.

Narongsak yang akan menyandang jawatan baharu di wilayah Phayao selepas ini juga memberi memberi penghormatan kepada bekas penyelam SEAL Tentera Laut, Saman Kunan yang meninggal ketika keluar dari gua selepas menghantar tangki oksigen ke satu daripada ruang gua.

“Beliau adalah wira yang sebenar, wira Tham Luang,” kata beliau.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close