Berita UtamaDuniaUtama

Recep Tayyip Erdogan angkat sumpah Presiden Eksekutif

Turki saksikan sejarah sistem Parlimen bertukar, jawatan PM mansuh

ANKARA, 26 Syawal 1439H, Selasa – Recep Tayyip Erdogan mengangkat sumpah jawatan Presiden Turki malam tadi, selepas memenangi Pilihan Raya Presiden negara itu bulan lalu yang membolehkan beliau mengekalkan kerusi itu dengan penambahan kuasa eksekutif.

Majlis yang diadakan di Parlimen negara itu di ibu negara Turki, juga menyaksikan penukaran sistem berparlimen kepada Presiden Eksekutif, seiring dengan perubahan Perlembagaan yang diluluskan pada pungutan suara tahun lalu.

Di bawah sistem baharu itu, Erdogan, 64 tahun, akan mengetuai eksekutif dan mempunyai hak melantik atau menyingkir Naib Presiden – jawatan baharu yang diperkenalkan – serta menteri, pegawai tertinggi kerajaan dan hakim kanan, tanpa memerlukan kelulusan Parlimen. 

Presiden juga mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen, mengeluarkan perintah eksekutif, dan melaksanakan perintah darurat.

Dalam sistem ini, jawatan Perdana Menteri tidak wujud.

Erdogan yang menang untuk tempoh lima tahun lagi dengan memperoleh 52.5 peratus undi Pilihan Raya Presiden 24 Jun lalu, dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya hari ini.

Sebelum ini, beliau dipetik sebagai berkata, tidak ada ahli atau anggota Parlimen daripada partinya, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) dalam barisan Kabinet baharu.

Pada pilihan raya Parlimen yang diadakan serentak dengan pemilihan Presiden, AKP menguasai 42.5 peratus kerusi, sementara sekutunya Parti Pergerakan Kebangsaan (MHP) memperoleh 11.1 peratus, membolehkan kedua-duanya menguasai majoriti kerusi Parlimen.

Erdogan, yang menguasai Turki selama 15 tahun sebagai Perdana Menteri dan Presiden, sering menegaskan bahawa kuasa penuh eksekutif akan mencipta suasana stabil yang akan membolehkan negara melangkah ke masa depan yang lebih baik.

Bagaimanapun, parti pembangkang dan pengkritik berkata, sistem itu memberikan Presiden kuasa utama, tanpa perlu melakukan semak dan imbang. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close