Pendapat

Reaksi Ridhuan Tee terhadap isu peguam kata sistem beraja kuno, tidak perlu dipertahankan

Golongan ini tidak layak menjadi bangsa Melayu, eloklah dipadamkan identiti bangsa. Jika dipadamkan identiti Melayu, mereka ini adalah golongan tidak ada bangsa dan tidak layak tinggal di bumi bertuah

PENDAPAT seorang peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang mempertikai keberadaan sistem beraja di negara ini yang turut didakwanya sebagai sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh lagi diterima atau dipertahankan, mendapat reaksi pelbagai pihak.

Pendapat aktivis BERSIH itu yang turut mengatakan kewujudan sistem pemerintahan di bawah seorang raja atau sistem monarki sudah lapuk ditelan zaman, juga mendapat reaksi daripada pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah. Berikut adalah ulasan Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu.

MEREKA yang mahukan sistem beraja di Malaysia dihapuskan menunjukka ia sangat jahil sebagai orang bergelar Melayu dan juga jahil sejarah negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu berteraskan raja-raja Melayu.

Jika raja yang bersalah dan tidak berakhlak mengikut kehendak rakyat jelata, itu salah raja, bukan salah sistem beraja. Sama seperti sistem demokrasi dan komunis, jika mereka gagal menjaga rakyat jelata dan negara menjadi maju, itu bukan salah sistem tetapi pemimpin yang bergelar Perdana Menteri atau Presiden.

Mencium tangan raja bukan satu isu besar yang perlu ditonjolkan bagi menolak sistem beraja. Ia hanya adalah adat budaya Melayu seperti mana kita mencium tangan ibu bapa kita sebagai tanda hormat. Tidak lebih daripada itu sehingga menganggap raja sebagai Tuhan.

Jika begitu keadaannya, keadaan di negara Thailand sudah tentu lebih teruk. Raja disembah dengan meniarap, termasuk gambarnya.

Saya cabar peguam tersebut untuk meluahkan perkara yang sama di Thailand. Percayalah, hukumannya boleh mencapai 15 tahun penjara. Di sana, rajanya disembah seperti Tuhan dengan meniarap.

Rakyat sanggup lakukan sedemikian, sebagai tanda hormat dan syukur sebab adanya raja yang membawa ‘rahmat’ kepada negara dan rakyat Siam. Tidak pula Thailand menjadi mundur. Malah negaranya menjadi semakin maju dan makmur.

Kepercayaan rakyat Siam kepada sistem beraja tidak pernah luntur malah semakin kuat. Kita lihat Perdana Menteri sebelum ini yang bukan berbangsa asal Siam tetapi Cina, seperti Thaksin dan adiknya Ying Luck, tetap melakukan perkara yang sama.

Meskipun tidak bertemu raja, tetapi gambar raja disembah dengan meniarap seolah-olah raja itu berada di depan. Kenapa mereka melakukannya, bukankah ia kerja ‘bodoh’ seperti yang dikatakan oleh peguam jahil tersebut.

Orang Siam percaya raja adalah bayangan Tuhan dan membawa ‘rahmat’ kepada negaranya.

Kita tidaklah sampai kepercayaan seperti itu. Cara kita menyembah raja pun tidak sedemikian. Kita tidak percaya bahawa raja itu bayangan Tuhan, tetapi raja itu adalah simbolik sejarah keturunan asal usul Melayu.

Kenyataan ini mungkin ada sedikit benarnya apabila ada segelintir kita yang sudah muak dengan perangai raja-raja tertentu dan kerabat yang berlagak ke sana sini di kala rakyat berada dalam kesempitan dan kesusahan. Menggunakan kemewahan yang diberikan sewenang-wenang. Menggunakan nama kerabat untuk mendapatkan habuan tertentu seolah-olah mereka kebal.

Menjadi raja dan kerabatnya sangat bertuah kerana mereka mendapat keistimewaan yang tidak ada pada rakyat jelata. Sebab itu, raja perlu menunjukkan akhlak yang baik supaya berlaku raja adil raja disembah, raja zalim raja disangggah. In amat penting agar raja dihormati dan disayangi.

Dalam konteks Malaysia, raja adalah ‘penjaga; kepada agama Islam dan orangMelayu serta hak istimewanya. Jika tidak ada raja, maka semakin bermaharajalelalah golonga liberal ini.

Saya tidak pelik, jika orang bukan Melayu yang tidak faham adat budaya Melayu yang mempertikaikannya, tidak mengapa juga, tetapi jika orang Melayu sendiri yang melakukannya, nampak sangat mereka ini jahil murakab dan telah mati hati Melayunya.

Golongan ini tidak layak menjadi bangsa Melayu, eloklah dipadamkan identiti bangsa. Jika dipadamkan identiti Melayu, mereka ini adalah golongan tidak ada bangsa dan tidak layak tinggal di bumi bertuah.

Jika amalan sistem beraja ketinggalan zaman, sudah tentu negara ini tidak maju. Tetapi keadaan berlaku sebaliknya, negara terus bergerak mahu dengan adanya jati diri.

Apakah kita sudah lupa peranan raja membangunkan setiap negeri ketika negeri-negeri di bawah pemerintah beraja sebelum penjajah seperti Portugis, Belanda dan British menjajah Tanah Melayu dan menukar sistem feudal kepada sistem demokrasi?

Saya harapkan peguam jahil tersebut dapat membaca sejarah kesultanan Melayu. Tidak cukup dengan itu, bacalah sama kenapa kita mempunyai sembilan raja-raja Melayu dan satu Yang diPertuan Agong. Jika sarjana sejarah seperti Khoo Kay Kim boleh mengesyorkan kita membaca sejarah sebegini, kenapa orang Melayu begitu jahil mempertikaikan sistem beraja ini.

Sebenar kita tidak meletakkan raja di tempat yang lebih tinggi melebihi Tuhan. Raja juga adalah manusia biasa seperti kita. Darah mereka merah dan perasaan dan nafsu mereka sama seperti kita. Mereka hanya simbol. Jika di Brunei, raja adalah raja dan pentadbir negara. Raja memerintah dengan adil. Justeru, di manakah salah raja ketika itu?

Misalnya Sultan Hasanal Bolkiah yang memerintah 1967 hingga kini. Baginda adalah Sultan Brunei ke 29. Kesultanan Brunei adalah salah satu daripada tujuh monarki berkuasa mutlak yang masih wujud dan berdaulat di dunia. Bagindalah yang memimpin negara Brunei sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1984.

Baginda berkuasa mutlak. Memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan Menteri Hal Ehwal Luar sejak Brunei mencapai kemerdekaan. Sumbangan baginda tidak ada tolok banding sehinggalah sekarang syariah Islam dilaksanakan sepenuhnya di Brunei.

Rakyat jelata menerima pemerintahan yang adil dan saksama, sama ada Islam atau bukan Islam. Orang Cina yang berjumlah 30 peratus menerima seadanya. Justeru, dimanakah dikatakan sistem beraja sudah tidak relevan?

Saya mohon peguam tersebut bertaubat, jika masih mengaku dirinya Melayu dan beragama Islam. Jika raja dan kerabat yang tidak berakhlak dengan baik, berakhlak dengan akhlak Islam, itu bukan salah sistem beraja, tetapi salah individu raja dan kerabat tersebut.

Kepada para raja dan kerabat, buatlah muhasabah, rakyat jelata sedang memerhatikan duli-duli Tuanku. Jangan sampai mereka menjadi bosan dengan tingkah taku raja tidak mencermin akhlak raja yang sebenarnya. Apa yang dibangkitkan mungkin sebahagian daripada rasa bosan dan amarah dengan melihat dan perangai serta tingkah laku duli-duli tuanku.

Berubahlah, sebelum rakyat jelata menolak sistem beraja, Ampun Tuanku.

 

Penafian: Pendapat yang diberikan adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya bertepatan dengan polisi Jabatan Editorial Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close