Berita UtamaDuniaUtama

Hamas kecam tindakan rejim Zionis tutup laluan barangan

Israel terus beri tekanan kepada perjuangan rakyat Palestin

GAZA, 26 Syawal 1439H, Selasa – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengecam tindakan rejim pengganas Israel menutup satu-satunya pintu sempadan untuk membawa pelbagai barangan memasuki Semenanjung Gaza di Kerem Shalom.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap Hamas, Fawzi Barhum yang mengecam tindakan itu, menyifatkannya sebagai ‘satu jenayah baharu terhadap kemanusiaan, menambahkan lagi kepada rekod hitam pendudukan Israel di Palestin, termasuk di Semenanjung Gaza’.

“Kebisuan serantau dan antarabangsa terhadap jenayah pengepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza selama 12 tahun menggalakkan lagi tentera rejim pengganas Israel untuk meneruskan kegiatan jenayah mereka yang melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“Oleh itu, Hamas menyeru agar komuniti antarabangsa mengambil tindakan secepat mungkin dan menghalang jenayah ini serta kesan buruknya,” katanya.

Pihak Israel menuduh Hamas menganjurkan ‘Tthe Great March of Return’ – tunjuk perasaan besar-besaran bermula pada 30 Mac, menyeru agar sekatan selama 11 tahun yang dilakukan rejim Zionis dan membenarkan pelarian Palestin pulang ke tanah air mereka yang dirampas ketika penubuhan negara haram Israel.

Penganjur bagaimanapun, menafikan tuduhan itu sambil menyatakan bahawa Hamas turut mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan seperti parti politik Palestin yang lain, tetapi pergerakan itu tidak memainkan peranan utama di dalam acara ini.

Bagaimanapun, penggunaan ‘layang-layang berapi’ serta belon oleh penunjuk perasaan menimbulkan kemarahan pihak Israel yang mendakwa menyebabkan kebakaran dan merosakkan 7,000 ekar hutan dan tanah ladang.

Tetapi rakyat Palestin melihat layang-layang dan belon itu sebagai satu langkah pertahanan terhadap rejim pengganas Israel yang lengkap bersenjata dan berlindung di sebalik pagar serta telah membunuh 136 rakyat Palestin sejak 30 Mac lalu.

Selain menutup laluan keluar masuk di Kerem Shalom, rejim Zionis turut mengecilkan kawasan penangkapan ikan sehingga mencetuskan ketegangan.

Penutupan pintu sempadan itu diumumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai langkah memberi tekanan kepada Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close