Berita UtamaUtama

Sistem beraja sudah kuno, tidak boleh dipertahan, kata aktivis PH

Meletakkan satu kelas manusia lebih tinggi daripada manusia lain hanya kerana mereka dilahirkan di kalangan golongan bangsawan adalah satu pemikiran yang memualkan – satu pemikiran yang bertentangan dengan nilai kebebasan dan martabat insani: Peguam Fadiah Nadwa Fikri

BANGI, 25 Syawal 1439H, Isnin – Seorang peguam, Fadiah Nadwa Fikri hari ini mempertikaikan kewujudan sistem beraja di Malaysia yang pada pendapatnya sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh lagi diterima atau dipertahankan.

Beliau yang juga sorang aktivis Pakatan Harapan (PH) berkata, kewujudan sistem pemerintahan di bawah seorang raja atau sistem monarki sudah lapuk ditelan zaman.

Malah, katanya, sejarah menunjukkan bahawa absurditas institusi ini tidak lagi boleh diterima, dipertahan, dan diwajarkan.

“Meletakkan satu kelas manusia lebih tinggi daripada manusia lain hanya kerana mereka dilahirkan di kalangan golongan bangsawan adalah satu pemikiran yang memualkan – satu pemikiran yang bertentangan dengan nilai kebebasan dan martabat insani,” katanya menulis dalam laman Facebook Malaysia Muda yang turut disiarkan dalam blog pergerakan itu.

Malaysia Muda adalah gerakan berasaskan kebudayaan dan pendidikan yang terdiri dan menjurus kepada anak muda di Malaysia yang berusaha untuk memajukan kesedaran mengenai isu sosial, ekonomi dan politik, dalam mencapai kesatuan nasional dan menyumbang kepada proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang bermakna.

Matlamat dan visi kerja pemberdayaan dan penyusunan ini akhirnya untuk menegakkan dan meniupkan panji keadilan sosial, pembebasan dan demokrasi bagi masyarakat Malaysia yang lebih baik dan bermakna.

Dalam tulisannya, Fadiah merujuk kepada perbuatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membongkok dan mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada pertemuan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Mengulas mengenainya, Fadiah berkata, apa yang meresahkan mengenai perlakuan yang diabadikan dalam gambar itu adalah budaya feudal yang tidak boleh dipertahankan dan implikasi besar yang disampaikannya.

“Dalam melawan lupa, kita perlu diingatkan bahawa rata-rata di dunia, kewujudan monarki telah lama lapuk ditelan zaman. Sejarah menunjukkan bahawa absurditas institusi ini tidak lagi boleh diterima, dipertahan, dan diwajarkan.

“Meletakkan satu kelas manusia lebih tinggi daripada manusia lain hanya kerana mereka dilahirkan di kalangan golongan bangsawan adalah satu pemikiran yang memualkan – satu permikiran yang bertentangan dengan nilai kebebasan dan martabat insani,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tatkala masyarakat terus bangkit merampas kembali makna kebebasan dan martabat insani dalam dunia yang penuh dengan kekuasaan yang menindas, konsep perhambaan yang tidak lagi boleh dipertahankan ini menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dirungkai.

“Mengapa golongan yang darahnya merah, semerah darah mereka yang dipaksakan kepatuhan kepada golongan itu mempunyai hak keistimewaan tersendiri? Mengapa golongan yang memerah hasil keringat mereka yang bersusah payah berjuang untuk terus hidup dan mencari kehidupan yang manusiawi perlu diberikan layanan dan pemujaan persis tuhan?

“Mengapa golongan yang dikurniakan secara mutlak mengikut budi bicara sendirinya kuasa besar dan kekayaan yang dirampas daripada mereka yang diperhambakan, kebal daripada kepertanggunjawaban?,” katanya.

Katanya, jawapan kepada persoalan ini membawa kita kepada satu kesimpulan jelas iaitu bukan sahaja monarki antidemokrasi, malah ia serangan langsung ke atas martabat kita sebagai manusia.

“Tatkala penyokong peninggalan kuno ini menghujahkan bahawa monarki sebagaimana wujudnya pada hari ini hanyalah perhiasaan perlembagaan yang neutral, realiti menunjukkan sebaliknya.

“Kita harus melihat melampaui apa yang tertulis di dalam Perlembagaan untuk memahami politik yang diamalkan institusi ini, kepentingan siapa yang ia wakili, dan di pihak mana ia berada,” katanya.

Fadiah turut mengulas kenyataan Tengku Mahkota Johor (TMJ) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang meminta rakyat Johor untuk tidak menjatuhkan kerajaan sedia ada ketika itu.

Beliau berpendapat kenyataan TMJ sebelum PRU14, tatkala masyarakat terbanyak dirasuk kemarahan, bersusah payah berjuang untuk membebaskan diri daripada situasi menindas sekian lamanya, adalah sesuatu yang dirancang.

“Perlakuan ini jelas dilaksanakan atas dasar ketakutan kepada sesuatu yang tidak diketahui – ketakutan hilangnya keistimewaan dan kuasa yang diberikan oleh kerajaan yang menindas yang mana turut bersubahat dalam memperhambakan masyarakat, sekiranya perubahan kerajaan berlaku.

“Perlakuan seperti ini bukanlah sesuatu yang terpencil dan ia adalah bukti bahawa institusi ini tidak pernah berlaku neutral. Jelas sekali bahawa ia tidak pernah memihak kepada masyarakat terbanyak.

“Mereka yang percaya bahawa institusi kuno ini adalah satu simbol penyatuaan, dengan memihak kepada penindas sementara masyarakat terbanyak dinafikan hak untuk kehidupan yang baik dalam negara yang dibina atas dasar kekuasaan, ketidaksamarataan, dan eksploitasi hanya akan membangkitkan satu penyatuan: penyatuaan dalam penindasan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, untuk bebas bukan dan tidak boleh bermakna bahawa kita hanya bebas daripada dinding penjara konkrit yang jelas di mata.

Kebebasan, katanya, mestilah bermaksud kita secara kolektif bebas daripada batas dinding yang telah lama dibina untuk merampas martabat insani kita, batas-batas dinding yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Untuk bebas, kita perlu bersama tanpa lelah bangkit dan melawan segala bentuk kekuasaan yang menindas,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close