Berita UtamaDuniaUtama

Langkah baru si kecil berkaki tin

Kanak-kanak pelarian Syria dapat rawatan di Turki, terima kaki palsu

ISTANBUL, 24 Syawal 1439H, Ahad – Masih ingatkah kepada seorang kanak-kanak pelarian Syria, Maya Mohammad Al-Mar’i, 8 tahun, yang terpaksa menggunakan tin yang diubah suai untuk dijadikan kaki palsu, bagi membolehkan dia bergerak?

Kerana kesempitan hidup, ditambah dengan kesan daripada perang saudara di Syria, keluarganya tidak mampu menyediakan kaki palsu buat gadis kecil itu.

Namun, kini segala-galanya berubah. Maya mampu tersenyum apabila ‘kaki tin’ yang digunakannya selama ini, telah digantikan dengan sepasang kaki palsu baharu.

Maya dan bapanya, Mohammad Merhi telah diterbangkan ke Istanbul, Turki untuk bertemu dengan pakar prostetik yang menghasilkan kaki palsu untuk mereka yang senasib dengannya.

Gadis kecil itu kini menjalani pemeriksaan khusus untuk memasangkan kaki palsu berkenaan ke sendinya. Selain Maya, Mohammad juga menerima bantuan sama daripada sebuah klinik di Turki.

Kemiskinan yang dihadapi keluarga Maya sebagai pelarian Syria menyebabkan Mohammad tidak mampu membelikan anaknya sepasang kaki palsu.

Bagaimanapun, kesusahan itu memaksa Mohammad membuat sendiri kaki palsu untuk Maya dengan menggunakan tin logam yang diubah suai bagi membolehkan dia berjalan seperti kanak-kanak lain.

Aksi kanak-kanak itu dirakam dan gambar menunjukkan kepayahan Maya berjalan dengan kaki tin berkenaan yang tular di media sosial, ternyata membuka mata pelbagai pihak untuk menghulurkan bantuan.

“Kami menghadapi banyak cabaran, terutamanya untuk bergerak dari tempat tinggal di khemah…secara umumnya ia sukar. Dia (Maya) tidak dapat berjalan, jadi saya membuat sesuatu untuk melindungi dia dari tanah,” kata Mohammad.

Doktor berharap supaya Maya dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan kaki palsu baharu itu dalam tempoh tiga bulan.

“Dia (Mohammad) lakukan segala-galanya untuk membolehkan anaknya berjalan semula. Semoga Tuhan membantu mereka,” kata pakar prostetik Turki, Mehmet Zeki Culcu.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close