Berita Utama

Crackhouse Comedy promosi fahaman rasisme membakar api perkauman

Tindakan tegas mesti diambil berdasarkan Akta Hasutan 1970

BANGI, 14 Zulhijjah 1443H, Khamis – Tindakan tegas mesti diambil berdasarkan Akta Hasutan 1970 ke atas Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) selain ditutup sepenuhnya kerana tidak memiliki lesen pusat hiburan.

Ini kerana kelab komedi kontroversi itu mempromosikan fahaman rasisme yang membakar api perkauman serta ajaran liberal yang telah terbukti merosakkan sistem sosial negara-negara maju dunia yang lain.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, terdapat juga beberapa pelawak muslim yang konsisten menjuarai dan mengaku secara verbal melakukan aktiviti seks bebas, swinging, pornografi, berpakaian separa bogel dan sangat aktif merosakkan moral para golongan muda di medan media sosial.

“Individu-individu ini pula mestilah didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan zina berdasarkan seksyen-seksyen yang diperuntukkan dalam undang-undang.

“Kerajaan mestilah mengambil tindakan tegas dalam hal ini supaya ia menjadi pengajaran kepada individu dan premis hiburan lain bagi membendung kerosakan moral rakyat yang telah sedia membarah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tidak guna berbicara soal ekonomi, keselamatan serantau, pendidikan alaf baru serta agenda memperkasakan bahasa dan budaya nasional jika aspek sosial masyarakat seperti dalam kes ini dipandang sepi.

“Kita memerlukan generasi yang kuat pegangan agama dan beradab sopan untuk memacu masa depan negara. Bukan pelawak seks dan badut yang tidak tahu bersyukur dan mengenang budi!” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button