Berita Utama

PGK RM2,208 peluang kerajaan gubal semula dasar bantu rakyat miskin

Tambah peruntukan bantuan bersasar, perlu semakan gaji minimum

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional yang dinaikkan kepada RM2,208 adalah munasabah dan patut dilaksanakan oleh kerajaan kerana kadar terdahulu; RM980 adalah terlalu rendah.

Penganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, PGK sebelum ini seolah-seolah ingin menafikan realiti kesusahan hidup rakyat yang miskin di negara ini. 

Pun begitu, beliau menyarankan Jabatan Perangkaan Malaysia menggunakan Kemiskinan Relatif sebagai PGK yang baharu (50 peratus daripada median pendapatan isi rumah bersamaan RM2,940).

“Sekurang-kurangnya, nilai PGK yang baru ini akan membuka mata kerajaan untuk menggubal semula polisi dan dasar untuk membantu rakyat yang miskin di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK telah disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semakan PGK itu adalah berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Lebih 400,000 isi rumah di negara ini bagi tahun 2019 didapati berada pada paras kemiskinan berdasarkan metodologi PGK yang baharu.

Mengulas lanjut semakan itu, Dr Razman yang juga Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) berharap PGK ini dapat diperincikan mengikut negeri, daerah dan juga bandar atau luar bandar.

Ia kerana situasi semasa menunjukkan ramai penduduk bandar termasuk dalam kategori miskin bandar, katanya.

“Oleh kerana Melayu semakin ramai duduk di bandar, ramai juga di antara mereka sebenarnya dikategorikan sebagai miskin bandar. 

“Kerajaan harus menerima hakikat bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi kemiskinan termasuk menambah peruntukan untuk saluran bantuan bersasar dan juga semakan gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan perbelanjaan untuk membasmi kemiskinan ini boleh ditampung dengan memperkenalkan cukai baharu seperti cukai pusaka dan cukai modal tambahan (capital gain tax) yang biasanya ditumpukan kepada golongan T20. 

“Kenaikan kadar cukai pendapatan untuk golongan T20 dan cukai syarikat boleh dipertimbangkan kerana masih ada lagi ruang untuk kenaikan kadar tersebut. 

“Saya juga berpendapat bahawa semakan kadar PGK harus dilakukan setiap tahun dan diperincikan mengikut negeri, daerah dan bandar/luar bandar supaya bantuan yang ingin diberikan lebih berfokus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan gaji minumum dinaikkan mengikut lokasi dan jenis industri. 

Ia berikutan terdapat sesetengah industri membuat keuntungan berbilion ringgit tetapi masih mahu menggaji pekerja asing dan tidak mahu mengambil pekerja tempatan, tegasnya.

“Kita mahu syarikat-syarikat yang membuat keuntungan besar mengambil pekerja tempatan dengan gaji minimum yang lebih tinggi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button