Pendapat

Menolak seruan songsang

Aktivis Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Interseks, Queer dan Questioning (LGBTIQ) meminta pengiktirafan agar pasangan juga bererti di antara lelaki dan lelaki, wanita dan wanita, bahkan boleh jadi juga di antara transgender lelaki dan wanita atau transgender wanita dan lelaki

WANITA tulang belakang sesebuah negara. Tidak hairanlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan agenda wanita sebagai satu perkara dalam matlamat kelestarian pembangunannya.

Baru-baru ini, penulis berpeluang mewakili Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA) pada Persidangan Antarabangsa Kelima Mengenai Kajian Gender dan Wanita 2018 (GWS 2018) di Bangkok, Thailand.

Persidangan disertai wakil 22 negara, masing-masing pakar dalam bidang kajian wanita dan juga aktivis serta advokasi wanita. Pelbagai isu wanita melanda seluruh dunia dibentangkan pada persidangan ini. Dari isu pendidikan, kesihatan, sosial, keselamatan hingga ke jati diri.

Penulis teringat hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan lelaki selain fitnah wanita”. (Riwayat Bukhari & Muslim).

Ramai yang melihat hadis ini pada skop yang kecil, iaitu mentafsirkan ‘fitnah’ seputar isu daya godaan wanita terhadap lelaki. Contohnya isu ikhtilat (pergaulan bebas), isu tabaruj (bercantik-cantik dalam berpakaian), zina dan seumpamanya.

Tiga perkara asas

Namun, mafhum ‘fitnah’ ini hanya dapat difahami apabila kita membincangkan hubungan antara jantina dalam Islam, iaitu hubungan di antara lelaki dan wanita. Terdapat tiga perkara asas dalam hubungan di antara lelaki dan perempuan dalam Islam.

Pertama adalah konsep berpasang-pasangan (zaujiyat). Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat pertama yang bermaksud, Allah mencipta manusia daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan.

Namun, kebelakangan ini ada seruan songsang yang ingin mengubah konsep berpasang-pasangan berasaskan ‘heteronormativiti’.

Aktivis Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Interseks, Queer dan Questioning (LGBTIQ) meminta pengiktirafan agar pasangan juga bererti di antara lelaki dan lelaki, wanita dan wanita, bahkan boleh jadi juga di antara transgender lelaki dan wanita atau transgender wanita dan lelaki.

Lebih teruk, peranan ibu bapa juga terkesan sehinggakan anak generasi masa depan akan keliru dengan penjaga mereka, siapa ibu dan siapa pula bapa.

Pada GWS 2018, ada pembentang yang menyeru kepada merangka kembali jantina (gender deconstruction) supaya dapat mengiktiraf LGBTIQ. Ia tidak menghairankan kerana pembentang itu datang dari negara yang tidak menjadikan Tuhan dan agama sebagai panduan hidup.

Bagi umat Islam, agama kita sentiasa bertepatan dengan fitrah manusia, maka tidak kira apa pun latar belakang masa dan sosial, keperluan manusia tetap sama.

Sekiranya kita merujuk kepada laporan gabungan 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) liberal dikenali dengan nama ‘Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process’ (COMANGO), mereka ingin menekan supaya negara kita tunduk kepada normalisasi LGBTIQ.

Saling menyokong

Perkara asas kedua dalam hubungan lelaki dan perempuan dalam Islam ialah saling menyokong (wilayat).

Firman Allah dalam Surah At Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Ada perkongsian pada GWS 2018 dari wakil Filipina yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan peranan wanita mengikut kerangka yang ditetapkan PBB, kedudukan wanita dalam pelbagai bidang ekonomi, pendidikan dan sosial dikatakan menjadi lebih baik.

Namun, pembentang turut menyatakan kegusaran dengan laporan yang semakin meningkat dalam hal penderaan lelaki oleh wanita di Filipina.

Pembentang dari China pula melaporkan penderaan ke atas wanita biasanya disabitkan ke atas lelaki. Namun, kajian beliau menunjukkan bahawa penderaan wanita ke atas wanita lain juga semakin menjadi-jadi di negaranya.

Teori ‘feminisme’ meletakkan perempuan saingan kepada lelaki, malah perlu sama seperti lelaki dalam mengukur pencapaian. Padahal dalam Islam, pencapaian wanita bergantung kepada kedudukannya pada sisi Allah SWT, bukan pada sisi lelaki dan sejauh mana dia berjaya melaksanakan peranannya.

Lelaki dan wanita hidup saling berharmoni dan melengkapkan, bukan saling menyaingi untuk merebut peranan yang biasanya khusus mengikut biologi dan fisiologi manusia itu sendiri.

Lelaki sebagai penjaga

Perkara ketiga yang menjadi asas dalam hubungan lelaki dan perempuan dalam Islam adalah konsep lelaki sebagai penjaga dan pemelihara ke atas wanita (qaw- wam).

Dalam Surah An-Nisa ayat 34, Allah menyebut dengan maksud: “Lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap perempuan. Oleh sebab Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang perempuan dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Konsep ‘qawwam’ sesuatu yang dibenci oleh mereka yang berpegang kepada fahaman ‘feminisme’ kerana menganggap ia konsep yang melemahkan kedudukan wanita.

Padahal ia satu pandangan menunjukkan ‘ekologi’ sempurna dalam sistem kekeluargaan Islam, iaitu lelaki mempunyai tanggungjawab khusus, bahkan wanita juga ada tanggungjawab yang khusus.

Pada saat ini, wanita dimomokkan untuk keluar dari rumah dan disuruh merebut kedudukan ekonomi negara. Lantas diremehkan tugas asasnya sebagai ibu dan suri rumah. Tidak hairanlah wujud konflik seperti terabainya anak mereka.

Kalau dahulu masyarakat berpegang kepada institusi kekeluargaan sebagai tonggak menjaga tumbesaran dan kemenjadian anak. Kini dilepas tangan kepada institusi seperti TASKA, TADIKA, sekolah, asrama, malah institusi mengawal moral seperti pusat pemulihan akhlak dan penjara.

Tiada galang ganti

Ada perkongsian pada GWS 2018 oleh pembentang dari Kanada yang menyebut bahawa peranan ibu dalam tumbesaran anak, tiada galang ganti. Bahkan peranan ayah menyediakan rumah dan keperluan mencukupi juga untuk menjamin kelestarian sesebuah keluarga.

Dalam kes ibu tunggal yang terpaksa memainkan kedua-dua peranan, mencari rezeki serta mengasuh dan mendidik anak, ia menjadi sesuatu yang sukar tanpa sokongan institusi kebajikan di sesebuah negara.

Pembentang dari Ghana pula menyatakan kegusaran mengenai fenomena mengandung dalam kalangan kanak-kanak. Bukan disebabkan rogol atau perkahwinan, tetapi hubungan seksual aktif untuk mendapat perhatian daripada pasangan kerana tidak mendapat tumpuan dari ibu bapa.

Kewanitaan bukan suatu kelemahan. Bahkan ketika Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah mengenai pahala syahid di medan perang, Rasulullah menyebut wanita juga dapat peluang pahala syahid sekiranya mereka menjaga urusan rumah tangga dengan sebaik-baiknya.

Ia adalah pengiktirafan yang besar bagi wanita, menjaga rumah tangga sama nilainya dengan menjaga perbatasan negara. Sungguh, peranan wanita amat besar untuk memastikan kemenjadian masa depan negara.

Dasar awam sesebuah negara seharusnya mengambil berat pemerkasaan peranan wanita pada tugas asasi mereka yang tidak dapat diambil alih lelaki.

Untuk menyokong tujuan ini, Wanita ISMA menganjurkan Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) bertemakan ‘Wanita Bahagia, Negara Sejahtera’ pada 1 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Konvensyen ini bertujuan mengupas isu penting mengenai wanita dan peranan mereka dalam negara. Isu psikologi, motivasi, kesihatan dan sains sosial berkaitan wanita akan disampaikan oleh penceramah dan ahli panel berpengalaman.

Norhidayah Ismail
Penulis adalah Pengarah International Muslimah Empowerment Conference Wanita ISMA

Pendapat yang diberi adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net. Tulisan ini pertama kali disiarkan di Berita Harian, hari ini, 7 Julai 2018.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close