Berita UtamaUtama

‘Akaun bank saya, rakan pernah dibekukan, kami tak merungut’

Dr Mahathir nafi pembekuan akaun bank Najib sebab balas dendam

PUTRAJAYA, 22 Syawal 1439H, Jumaat – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, akaun bank beliau juga pernah dibekukan sebelum ini, tetapi beliau tidak pernah merungut.

Sambil menafikan bahawa tindakan membekukan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya ada kaitan dengan balas dendam, Dr Mahathir juga memaklumkan akaun rakan-rakan beliau turut dibekukan, tetapi mereka tidak merungut.

“Ini tuduhan, kalau mereka fikir tindakan pembekuan ini sebagai salah, mereka boleh bawa perkara ini ke mahkamah. Kita nak balas dendam buat apa? Apa yang mereka buat pada kita dulu, tidak pernah pun kita merungut.

“Semua kawan saya dihalau, tak bagi berkawan dengan saya. Pembekuan akaun mereka (kawan-kawan) juga dilakukan. Kita tak merungut pun,” katanya mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank Najib dan keluarganya berhubung siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyelewengan dana SRC International dan 1MDB.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Semalam, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa merungut kerana akaun banknya dibekukan selepas dia membayar ikat jamin bapanya RM1 juta, selepas mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan jenayah pecah amanah dan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Menulis dalam laman Facebook Malaysians for Civil Liberty, Najwa juga mendakwa akaun bank anaknya yang ada RM100 turut dibekukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menafikan akaun bank cucu Najib itu dibekukan.

Dalam pada itu, anak lelaki Najib, Mohd Nazifuddin mengecam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang dengan mendakwa bahawa pentadbiran baru tidak berbeza ketika tempoh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Dia juga menyifatkan dakwaan terhadap bapanya sebagai contoh ‘pendakwaan terpilih’ dan yang berlaku kerana mahu membalas dendam.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close