Berita UtamaUtama

Tingkat prestasi, jadi pakar untuk rujukan masyarakat

Presiden Isma mahu ahli terjemah pemahaman Islam ke alam realiti

BANGI, 19 Syawal 1439H, Selasa – Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) digesa menterjemahkan pemahaman mengenai Islam ke alam realiti, yang tidak hanya terhad dalam menangani isu semasa sahaja.

Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, pemahaman itu juga perlu diaplikasikan dalam setiap bidang yang dikuasai termasuk teknologi, siber, kewangan dan keselamatan.

Beliau turut mengingatkan pimpinan Isma luar negara supaya meningkatkan prestasi dalam bidang masing-masing, dan menjadi pakar untuk dijadikan rujukan masyarakat.

Ini kerana kata beliau, rakyat Malaysia hari ini lebih tertarik dan berminat kepada pandangan yang bersifat ‘solution-based’, berbanding propaganda semata-mata.

“Jika kita lihat pada apa yang terjadi kepada Mesir, walaupun Mohamad Morsi dipilih untuk menerajui pentadbiran negara tersebut menerusi proses demokrasi, namun beliau masih bergantung kepada kepakaran pihak lain.

“Akhirnya, beliau (Morsi) dijatuhkan oleh pimpinan tenteranya sendiri, al-Sisi. Ini menunjukkan bahawa tidak cukup dengan hanya menguasai kerusi politik, umat Islam perlu berusaha lebih daripada itu untuk menguasai segala aspek pentadbiran negara.

“Namun, cabaran yang sebenar lebih mencabar daripada apa yang kita bayangkan. Negara kita masih bergantung kepada pertolongan pihak luar, sehingga memajukan negara pun kita masih bergantung kepada pinjaman entiti luar. Percaturan global sebegini yang kita perlu cakna,” katanya.

Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Simposium Kepimpinan Isma Luar Negara (SKIL), Ahad lalu.

Simposium berkenaan adalah julung kali dianjurkan oleh Biro Luar Negara, dengan menyediakan pentas kepada pimpinan mahasiswa di luar negara menggilap potensi dan mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa depan.

SKIL 2018 menyaksikan pembentangan idea-idea kepimpinan yang berprinsip, proaktif dan segar daripada pimpinan mahasiswa Mesir, Jordan, Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, United Kingdom (UK) dan India, selain menerima penyertaan daripada alumni Isma luar negara.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close