Pendapat

Isu kahwin bawah umur perlu ditangani

KISAH tular baru-baru ini berkenaan kanak-kanak 11 tahun bernama Ayu yang dikahwinkan, ialah kisah tragis kanak-kanak yang dimangsakan oleh keluarganya sendiri, untuk kononnya keluar dari kesukaran hidup.

Bapa kanak-kanak tersebut yang bekerja sebagai penoreh getah mengakui bahawa lelaki 41 tahun yang kini menjadi suami anaknya itu adalah majikannya, yang selalu membeli getah daripadanya. Bahkan dia turut menyatakan bahawa dia bersetuju membenarkan anaknya dikahwinkan, apabila lelaki 41 tahun tersebut berjanji “akan memberikan kehidupan lebih selesa selepas berkahwin dengan Ayu.”

Justeru apakah penyelesaian bagi menangani kes-kes seperti ini di masa hadapan?

Sebenarnya di Malaysia, kita mempunyai sistem yang cantik bagi mengelak hal-hal seperti ini daripada terjadi (tetapi mempunyai ruang-ruang untuk penambah baikan).

Tidak ramai yang mungkin ingat, bahawa 8 tahun lalu, iaitu pada tahun 2010, sebuah kes yang hampir serupa dengan kes yang tular baru-baru ini pernah terjadi di Kota Bharu (gambar laporan berita dalam posting ini), tetapi Mahkamah Tinggi Syariah telah bertindak cekap dan pantas dengan memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak perempuan 11 tahun yang dipaksa kahwin oleh ayahnya dengan lelaki berusia 41 tahun (kebetulan usianya sama dengan kes yang tular baru-baru ini), sebagai tidak sah dan terbatal. Boleh baca laporan lapan tahun lepas tersebut di sini: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Sistem perundangan di Malaysia menetapkan bahawa sebelum sesuatu perkahwinan Muslim boleh didaftarkan, izin wali (biasanya bapa) diperlukan. Ini ialah perlindungan / halangan (safeguard) pertama. Dan tidak cukup dengan itu, perundangan turut menetapkan perlindungan / halangan di lapisan kedua, iaitu keizinan bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah perlu didapatkan terlebih dahulu sebelum mana-mana kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun boleh dikahwinkan. Justeru, jika terdapat kejadian di mana bapa secara tidak bertanggungjawab cuba mengahwinkan anak bawah umur, perkara ini tidak mungkin akan dapat dilakukannya, kerana izin Hakim Mahkamah Syariah mustahil boleh diperolehi, jika tiada alasan kukuh.

Cuma bezanya kes pada tahun 2010 tersebut dengan kes yang tular baru-baru ini ialah kerana kes baru-baru ini melibatkan bukan warganegara Malaysia (kanak-kanak perempuan tersebut warganegara Thai, yang tinggal di Gua Musang), dan perkahwinan mengambil tempat di Thailand.

Justeru jika ada yang mengatakan bahawa bagi menangani kes-kes seperti ini, undang-undang di Malaysia perlu dipinda bagi mengharamkan secara total semua perkahwinan bawah umur — ia sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah. Kerana perkahwinan dalam kes ini bukan berlaku di Malaysia. Kita boleh perketat undang-undang dalam negara kita dengan sepenuh ketat, tetapi jika orang-orang tua pedofil mengheret kanak-kanak bawah umur dan berkahwin di Selatan Thailand, apa yang boleh kita buat?

Kerana itulah, saya fikir, jalan penyelesaiannya ialah dengan meningkatkan bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia, dalam menghukum mana-mana lelaki dewasa tidak bertanggungjawab yang pergi ke luar kawasan supaya dapat berkahwin dengan kanak-kanak.

Di bawah undang-undang sedia ada, perkahwinan di luar kawasan kariah tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan. Tetapi malangnya kesalahan yang sedia ada kini adalah terlalu kecil, pada kebiasaannya hanya denda sebanyak RM1,000, atau dipenjarakan untuk tempoh 6 bulan (yang jarang-jarang dikenakan).

Sudah tiba masanya bidangkuasa kehakiman syariah dalam hukuman jenayah (termasuk jenayah matrimonial) ditingkatkan. Kes perkahwinan bawah umur melibatkan masa depan, psikologi jangka panjang, dan tumbesaran kanak-kanak mangsa yang terbabit. Ia bukan perkara kecil. Ia tidak boleh dipendang enteng atau remeh.

Seyogia pindaan terhadap bidangkuasa hukuman Mahkamah Syariah bagi membenarkan penjara tidak melebihi 30 tahun, denda tidak lebih RM100,000 dan juga sebatan syar’ie tidak lebih 100 kali wajar dipertimbangkan, un
tuk menangani kes-kes seperti ini, sebagai peringatan tegas dan keras kepada mana-mana lelaki tua pedofil supaya jangan main-main dengan sistem perundangan perkahwinan dan kekeluargaan Islam di negara ini!

Baru-baru ini, 49 Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang bergabung di bawah MACSA telah mengeluarkan kenyataan tegas yang menggesa agar tatacara dan aturan diperketatkan sebelum membenarkan sebarang perkahwinan bawah umur, demi kemaslahatan bersama.

Aidil Khalid
Aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close