Pendapat

Desakan pembekuan akaun PAS langkah awal ke arah amalan politik autokrasi

1. KENYATAAN yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara(PAN), Saudara Faiz Fadzil Noor yang mencadangkan dan mendesak agar akaun PAS dibekukan ekoran dakwaan kononnya telah menerima derma hasil dari dana 1 Malaysian Development Berhad(1MDB) jelas memperlihatkan ketandusan idea pemimpin tersebut untuk mengaitkan PAS dengan amalan rasuah dan korupsi.

2. Pelbagai tuduhan demi tuduhan telah dibuat sejak sebelum PRU14 lagi bagi mengaitkan PAS dengan amalan rasuah, namun kesemua dakwaan tersebut berakhir dengan sia-sia tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa. Terdahulu fitnah yang mengaitkan Presiden PAS dengan penerimaan wang sebanyak 90juta juga sudah dilihat semakin gagal di Mahkamah London.

3. Oleh itu, bagi mengelakkan reputasi PAN terus dipertikaikan dan dipersoalkan oleh para penyokong mereka sendiri, maka mahu tidak mahu pemimpin PAN terpaksa mengambil satu tindakan segera bagi mengekalkan keyakinan para penyokong mereka yang sudah semakin luntur. Sudahlah dakwaan UG antara PAS dan UMNO hanya tinggal ratiban yang tidak kunjung tiba. Sebaliknya, Pakatan Harapan pula yang dilihat tidak henti-henti menerima kemasukan dan sokongan satu persatu Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli UMNO yang keluar UMNO.

4. Jadi, desakan terbaru yang dibuat oleh Saudara Faiz Fadzil atau Timbalan Ketua Pemuda PAN itu hanyalah semata-mata untuk menutup hakikat kredibiliti PAN yang sudah semakin tercalar. Desakan itu juga malah memperlihatkan sikap parti itu yang semakin menuju kearah amalan autokrasi dalam politik. Desakan dan gesaan terbuka yang menuntut SPRM menyiasat dan membekukan akaun PAS tanpa sebarang bukti dan maklumat yang dikemukakan secara rasmi kepada badan tersebut juga jelas mendedahkan sikap mahu tunjuk kuasa yang mulai wujud dalam PAN dan Pakatan Harapan secara amnya.

5. Seksyen 29 (1) Akta SPRM 2009 juga menyatakan bahawa, “tiap-tiap aduan yang berhubungan dengan pelakuan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh dibuat secara lisan atau bertulis kepada seorang pegawai Suruhanjaya”. Oleh yang demikian, desakan terbuka yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAN itu adalah sesuatu yang aneh dan agak menggelikan kerana jika benar dakwaan beliau tersebut mengapa maklumat yang ‘kononnya’ PAS menerima duit 1MDB itu tidak terus disalurkan secara rasmi ke pengetahuan SPRM sebagaimana yang disebut dalam Akta SPRM 2009?

Bukankah sekarang kerajaan Pakatan Harapan telah menguasai Putrajaya? Lalu apa yang menjadikan mereka begitu keberatan untuk bertindak sewajarnya? Atau ini merupakan satu lagi kenyataan tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu dimainkan demi meraih laba politik?

Akhbar Ali Bin Mohd Taib
Aktivis Pemuda PAS Rengit

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close