Berita UtamaKata PedangUtama

Peringatan buat perwakilan UMNO: Esok usah jadi kerbau

Warlord kini berkeliaran ibarat 'polong tak bertuan'. Perosak!!!

ESOK, 165,000 perwakilan parti yang dikatakan ‘keramat’ bangsa Melayu – UMNO – akan memilih seorang daripada lima individu untuk menerajui parti itu – menyelesaikan pelbagai isu dalaman dan sekurang-kurangnya bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tidak pula harus diketepikan siapa yang akan membawa hala tuju parti itu dalam perubahan arus politik perdana, di mana anak muda pada 9 Mei lalu sudah menunjukkan siapa yang mereka pilih, maka perwakilan yang akan mengundi esok harus ingat bahawa mereka punya hak untuk memilih.

Sebagaimana, rakyat Malaysia telah membuat pilihan secara bebas pada PRU14 lalu, demikian juga Pedang nasihatkan 165,000 perwakilan UMNO membebaskan diri daripada menjadi ‘kerbau’ kepada warload.

Kata seorang rakan Pedang “ramai warlord kini berkeliaran ibarat ‘polong tak bertuan’. Perosak!!!, selepas kalah teruk pada PRU14 lalu”.

Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang ‘patah’ selepas PRU14 sudah memberi isyarat kepada perwakilan. Pendekatan syiasah syariyah mahu diterapkan dalam Pemuda UMNO apabila memilih bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai ketua mereka.

Demikian juga Wanita yang melihat kepemimpinan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, manakala Puteri memilih Datuk Zahida Zarik Khan, memimpin sayap itu,

Sebenarnya, kuasa memilih pemimpin terletak di tangan setiap seorang perwakilan di peringkat akar umbi. Ahli akar umbi sekarang ini Pedang rasa sudah tidak ada kepentingan lagi, selain memainkan peranan untuk memilih pemimpin, dalam keadaan UMNO sekarang ini menanggung beban malu besar selepas PRU14.

Langkah UMNO sudah tempang dan parti itu kini memerlukan setiap perwakilan yang benar-benar matang untuk menjadi tongkat. Untuk terbang tinggi, mengepak sayap ke seluruh pelosok dunia juga bukan lagi UMNO, apabila dicemari dengan pelbagai skandal pemimpin atasan.

Pedang bukan bercakap seperti Majlis Profesor, tetapi dari ahli akar umbi yang tidak mahu lagi melihat ketua bahagian terhutang budi kepada warlord. Lantas, perwakilan yang akan mengundi esok tidak boleh lagi mengikut telunjuk ketua bahagian.

Ramai ketua bahagian UMNO yang kata terhutang budi kepada Datuk Seri Zahid Hamidi, atau Ku Li atau KJ. Tetapi, perwakilan masih tidak sedar bahawa mereka mempunyai hak sendiri sekarang, dalam menjadi tongkat bagi mengelakkan UMNO terus rebah.

UMNO dalam keadaan demam teruk sekarang memerlukan seseorang yang boleh mengubatinya dengan menyediakan ubat terbaik.

Daripada apa yang berlaku kepada UMNO sekarang – kalah PRU, akaun bank dibekukan, pemimpin disiasat, ahli mula isytihar keluar parti, ada yang lari keluar negara, ada yang berselimut di rumah kerana demam kura, manakala rakan dalam BN pula tikam belakang – 165,000 perwakilan lah yang akan menentukan hidup mati parti ‘keramat’ itu.

Maaf cakap, Pedang menjangkakan UMNO tidak boleh bangkit dalam tempoh sehingga PRU15 ini, dan jika sehingga PRU16 UMNO tetap belum sembuh, elok lah dibacakan talkin.

Pedang pernah peringatkan pemimpin Melayu jangan jadi seperti kambing dijunjung. Perwakilan UMNO jangan hanya ‘umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri’. ‘Macam lembu kasi, galak saja tiada melawan’. ‘Misai bertaring bagai panglima, sebulan sekali tak bunuh orang’.

Perwakilan UMNO esok kena berani – ‘Berani hilang tak hilang, berani mati tak mati’. Tegur, jangan diam jadi pengecut atau jadi kerbau.

Esok pilihlah seorang daripada lima individu untuk menjadi Presiden. Esok pilihlah seorang daripada dua calon untuk jadi Timbalan Presiden. Esok juga pilihlah tiga daripada tujuh calon untuk jawatan Naib Presiden, dan 106 calon yang akan menduduki kerusi Majlis Tertinggi.

Tapi ingat anda mempunyai hak, anda adalah tongkat kepada UMNO. Tak semestinya yang berdegar-degar bercakap berkempen sekarang, bagus. Mungkin bagus hanya peringkat bahagian dan kawasan Parlimen diwakili sahaja, tapi tidak untuk seluruh negara.

Juga, waspadalah terhadap ‘polong yang kehilangan tuan’. Usah mendabik dada kononnya orang Melayu masih menyokong UMNO, kerana punca kekalahan pada PRU14 antaranya kerana terlalu yakin akan menang. Akhirnya kampung tergadai.

Selamat memperbetulkan UMNO dan selamat mengundi.

Kata Pedang: Bersediakah perwakilan UMNO melepaskan tali yang mengikat hidung mereka?

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close