Berita UtamaUtama

Hanya profesional akan ketuai pengurusan GLC: PM

Ahli lembaga pengarah, ketua GLC tidak akan diberi gaji tinggi

JAKARTA, 15 Syawal 1439H, Jumaat – Kerajaan akan mengkaji semula penawaran gaji bagi semua ketua pegawai eksekutf dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta akan hanya mengutamakan mereka yang profesional dalam bidang perniagaan dan pengurusan untuk memimpin syarikat berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketua-ketua GLC dilantik secara politik oleh kerajaan terdahulu kerana mereka adalah penyokong parti dan tidak berdasarkan keupayaan mereka dalam perniagaan dan pengurusan kewangan.

Walaupun tidak mempunyai kebolehan dalam pengurusan, mereka mendapat gaji bulanan yang tinggi, katanya pada wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, di sini hari ini.

“Secara umum lebih 17,000 pelantikan politik termasuk beberapa duta negara yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu ini tidak mempunyai kecekapan tertentu tetapi sebaliknya penyokong parti memerintah dan dibayar gaji yang tinggi,” katanya.

Oleh kerana itu, beliau berkata, ketua GLC dan pelantikan ahli politik dalam lembaga pengarah syarikat tersebut memberi kesan mendalam kepada prestasi perniagaan dan kegagalan dalam pengurusan kewangan syarikat.

“Akhirnya projek yang dibuat dan pengurusan kewangan mereka gagal,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ahli lembaga pengarah dan ketua GLC dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan lagi diberikan gaji yang tinggi, sebaliknya diberikan bonus berdasarkan pencapaian prestasi kewangan syarikat yang baik.

“Kita (kerajaan Pakatan Harapan) akan cari seboleh-bolehnya mereka yang profesional…kita utamakan orang yang punyai pengalaman dalam bidang pengurusan,” katanya.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close