Berita UtamaUtama

PM sifatkan kenyataan bahasa Mandarin Guan Eng silap kecil

Nama menteri baharu sudah diputuskan, bakal diumum tak lama lagi

PETALING JAYA, 11 Syawal 1439H, Isnin – Kenyataan berbahasa Mandarin oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang mengundang reaksi negatif pelbagai pihak, disifatkan sebagai kesilapan kecil oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, adalah menjadi perkara biasa apabila segelintir individu melakukan kesilapan dan ia tidak perlu dijadikan isu besar.

“…beliau (Lim) tersilap, beliau bukan sengaja. Beliau boleh mengeluarkan kenyataan seperti biasa dengan kapasitinya sebagai menteri,” kata Dr Mahathir pada sidang media di sini, hari ini.

Lim dilaporkan mempertahan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange pada Khamis lepas.

Bagaimanapun, kenyataan dalam Facebook untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam bahasa Mandarin semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pengumuman baki barisan jemaah menteri, Dr Mahathir berkata, nama-nama itu telah diputuskan dan bakal diumumkan pada majlis angkat sumpah jawatan yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Pada 21 Mei lepas, seramai 13 menteri baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei. 

Menjawab soalan lain, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu mengenai laporan pembabitan hartawan Tan Sri Vincent Tan dan T7 Global Bhd dalam projek Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Saya tidak tahu mengenainya. Saya tidak boleh memberi komen. Anda harus bertanya kepada Vincent Tan,” kata ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan mempertimbangkan semula untuk meneruskan projek ECRL kerana pembabitan Vincent Tan.

Dr Mahathir berkata, beliau “ok” dengan rancangan untuk membina landasan kereta api, tetapi menegaskan bahawa kosnya perlu dikurangkan dan sebab itulah kerajaan sedang merundingkan semula dengan kerajaan China mengenai perkara itu.

Beliau berkata, terma-terma yang dicapai oleh kerajaan sebelum ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada Malaysia yang antara lain adakah pembayaran harus dibuat tanpa mengambil kira kemajuan projek.

“Semua terma ini perlu dirundingkan semula, dan jika kita memperoleh terma yang lebih baik, sudah tentu kita akan meneruskannya tetapi kita berharap untuk mengurangkan banyak kos memandangkan banyak salahlaku telah dilakukan.

“Contohnya, meminjam RM55 bilion dari China, kita berpendapat ia tidak harus melibatkan kos yang begitu tinggi. Syarat itu ialah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari China, menggunakan pekerjanya sendiri, membawa semuanya dari sana. Jadi apa yang Malaysia dapat. Kita mahu mendapatkan sesuatu untuk Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang berunding dengan pemilik Proton supaya Malaysia menjadi pembekal untuk komponen keretanya.

“Kita mahu mencuba dan mempunyai pembekal tempatan membekalkan komponen dan juga mungkin mengadakan usahasama,” kata beliau ketika diminta mengulas mengenai pertemuan beliau dengan wakil Geely minggu lepas.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close