Berita UtamaUtama

Memang patut perjanjian bekal air kepada Singapura dikaji

Budaya ultra kiasu dan ultra kiasi Singapura mesti dipecahkan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Syawal 1439H, Isnin – Langkah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula perjanjian pembekalan air Malaysia kepada Singapura, termasuk pendirian beliau berhubung isu itu disambut baik dan wajar dipuji.

Penceramah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, setiap kali isu air dibangkitkan, Singapura yang dilabelkan beliau sebagai negara ultra kiasu tidak pernah senang dan menyukainya.

Malah, beliau berkata, Singapura dengan sinis memberi amaran termasuk sanggup ‘berperang’ jika perjanjian air berkenaan ditamatkan sebelum tamat tempoh.

“Malah tidak ada kajian semula terhadap harga air. Budaya ultra kiasu dan ultra kiasi (takut mati) Singapura mesti dipecahkan,” katanya kepada Ismaweb.net sebagai mengulas pendirian baharu Kerajaan Malaysia berhubung isu bekalan air kepada Singapura.

Dr Mahathir ketika ditemu bual stesen televisyen Bloomberg, Jumaat lalu berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan semula perjanjian bekalan air dengan Singapura – Perjanjian Air 1962 – yang dianggap ‘terlalu mahal’.

Temu bual itu yang disiarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, adalah tidak logik apabila kerajaan mengenakan tarif air yang tinggi dan mahal kepada rakyat sendiri, berbanding harga yang dijual kepada negara ultra kiasu itu.

“Perjanjian apakah yang tidak masuk akal ini? Maka, sudah sampai masanya kerajaan bertegas dalam soal isu air yang harganya tidak masuk akal. Bayangkan bekalan air, kita yang empunya, kolam tadahan, kita yang empunya.

“Tetapi kawasan tersebut dikawal sepenuhnya oleh tentera Singapura, sehinggakan kita sebagai rakyat Malaysia, tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut, negara kita sendiri. Di manakah kedaulatan negara kita sebenarnya?,” katanya.

Beliau memuji tindakan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai negarawan sebenar kerana komited mempertahankan hak yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Singapura sebelum ini, bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan telah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.

Ia diikuti dengan Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Satu perjanjian baharu telah dimeterai pada tahun 1990 antara Singapura, Malaysia dan kerajaan negeri Johor, bagi membolehkan Singapura membina empangan di Sungai Linggui untuk memproses sendiri air dan menaikkan kapasiti pengeluaran air negara itu.

Singapura membayar pampasan RM320 juta kepada Malaysia dan kerajaan negeri Johor sebagai ganti nilai tapak empangan yang didirikan. Timbal balas kepada perjanjian itu, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diberi kontrak membekal gas asli dari Terengganu ke Singapura.

Dalam dua siri pertemuan dengan kerajaan Malaysia sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.

Kerajaan Malaysia telah mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011, tetapi negara republik itu menolak,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close