Berita UtamaUtama

Ketua Pemuda PPBM tegur Guan Eng guna bahasa Mandarin

Utamakan bahasa Kebangsaan untuk kenyataan rasmi kerajaan

BANGI, 11 Syawal 1439H, Isnin – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegur Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu penggunaan bahasa Mandarin bagi kenyataan rasmi kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Muar itu berkata, keutamaan perlu ditekankan kepada penggunaan bahasa Kebangsaan untuk kenyataan rasmi kerajaan, selaras dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, penggunaan bahasa Kebangsaan sebagai medium untuk kenyataan rasmi kerajaan juga termaktub dalam undang-undang negara.

“Menurut Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan, ‘Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi’.

“Ini bermakna, ia telah pun dipersetujui bahawa bahasa Malaysia perlu digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tiada sebarang masalah jika kenyataan rasmi diterjemahkan kepada bahasa lain, dan ia patut diterima.

Namun jelas beliau, keutamaan seharusnya diberikan kepada penggunaan bahasa Kebangsaan untuk hebahan media buat kali pertama, bagi memastikan tiada kekeliruan daripada pihak awam.

“Kenyataan di dalam bahasa Kebangsaan akan dijadikan satu-satunya sumber rasmi oleh mana-mana pihak.

“Kenyataan rasmi kerajaan Malaysia juga akan diterjemah kepada bahasa Inggeris sebagai sumber rujukan media asing dan boleh diterjemah kepada bahasa ketiga jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kekeliruan dan salah faham dari orang ramai dapat dielakkan dengan prosedur sebegini,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close