Berita UtamaUtama

‘Kaki bodek patut kena tendang keluar’

Usah sibuk dengan tugas orang lain, kata KP SPRM

BANGI, 7 Syawal 1439H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada semua kakitangan awam supaya menghentikan amalan bodek dan mengampu yang mendorong kepada rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, kerajaan perlu meneliti perkara benar dan memberi penghargaan kepada kakitangan yang bekerja dengan penuh integriti, bukan kaki bodek.

“Orang cakap benar kita bagi penghargaan, orang kaki bodek kena tendang keluar, kerana golongan pengampu inilah merosakkan sistem negara kita.

“Nak marah saya, marahlah, saya kata perkara yang benar,” katanya menerusi temubual eksklusif akhbar Sinar Harian, semalam.

Beliau turut mengingatkan menteri, ketua setiausaha (KSU) dan ketua-ketua jabatan supaya menghentikan budaya melanggar sempadan kuasa, bagi menghapuskan amalan rasuah.

“Jangan satu sama lain langgar sempadan tugas orang lain, itu yang jadi jadi huru-hara.

“Menteri, timbalan menteri, orang politik buat kerja mereka, pegawai kerajaan, swasta kumpulan pelaksana ini buat kerja mereka begitu juga dengan kehakiman buat kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman wajar dipatuhi serta sempadan kuasa itu perlu jelas bagi setiap peringkat.

Sehubungan itu, Mohd Shukri mengingatkan supaya setiap peringkat kuasa tidak menyibuk dalam tanggungjawab orang lain.

“Contohnya menteri gubal dasar untuk buat satu pembangunan di sesebuah kawasan, pelaksananya ialah eksekutif jadi biar eksekutif ini buat kerja mereka. Kumpulan legislatif ini jangan sibuk campur, suruh pilih orang itu, orang ini, tak boleh, semua mesti ada batasan tugas yang jelas.

“Manakala ketua-ketua jabatan semua peringkat terutamanya ketua-ketua jabatan pelaksana ini, mesti memberi nasihat yang jelas dan betul kepada menteri, timbalan menteri, kepada pembuat dasar.

“Mereka harus beri nasihat yang jelas, kalau perkara betul kata betul, mesti kata yang betul itu betul, jangan hanya tahu kata ya..ya..ya walaupun benda itu tak betul, dia mesti berani,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close