Berita UtamaUtama

PPBM Perlis berat mahu terima Ismail Kassim, Adun UMNO

Keputusan sama ada terima bekas pemimpin UMNO diserah kepada pusat

ARAU, 6 Syawal 1439H, Rabu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perlis keberatan untuk menerima bekas-bekas ahli UMNO seperti Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang dilapor berhasrat menyertai parti itu selepas keluar daripada UMNO semalam.

Ketuanya, Amier Hassan berkata, pihaknya membuka pintu kepada orang biasa dan ahli UMNO terpilih, tetapi tidak mahu mengimport bekas pemimpin UMNO kerana khuatir mereka akan mencemar PPBM.

Pada masa sama, Amier mempersoalkan langkah Ismail keluar daripada UMNO dan mahu menyertai PPBM.

“Mengapa hanya sekarang? Mengapa tidak sebelum pilihan raya umum? Kalau kita ambil bekas pemimpin UMNO, kita hanya benarkan penyakit UMNO tersebar dalam parti. Ini tidak adil kepada rakan-rakan PH lain.

“Saya serah perkara ini kepada pimpinan pusat untuk membuat keputusan,” katanya.

Ismail, adik kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim, mengumumkan keluar parti semalam atas alasan tidak lagi meyakini pimpinan UMNO.

Bagaimanapun, Amier berkata, langkah Ismail itu mungkin mendorong pemimpin UMNO lain untuk menyertai PPBM demi menyelamatkan diri sendiri kerana tidak lagi berkuasa selepas pilihan raya 9 Mei lepas.

“Pemimpin UMNO berkenaan hidup macam raja dan sekarang terpaksa hidup macam orang kebanyakan. Sudah tentu mereka cari jalan untuk hidup macam dulu,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close