Berita UtamaKata PedangUtama

Apakah ramai lagi Adun UMNO Perlis akan isytihar jadi Bebas?

Awan mendung dan hujan lebat boleh dikatakan setiap hari di seluruh Perlis sehebat ribut politik apabila Ismail Kassim keluar UMNO

TATKALA UMNO berdepan calar yang sukar dipadam ketika PRU14 dalam masa terdekat – gagal untuk terus mentadbir negara dan kini bakal pula menghadapi perebutan kerusi tertinggi parti 30 Jun ini – tiba-tiba seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO, mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Bukan sahaja Perlis sekarang ini sedang mengalami angin kuat, ribut dan hujan lebat boleh dikatakan sepanjang hari, tetapi keadaan politik dalaman UMNO juga semakin kacau apabila tercetusnya krisis dengan Istana Arau. Dan, terbaharu, Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mengintai untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ismail antara individu berpengaruh dalam politik Perlis selepas abangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Arau.

Selepas mengekalkan kerusi Tambun Tulang pada PRU14 lalu, Ismail dicalonkan oleh Shahidan untuk menjadi Menteri Besar. Tetapi beliau tidak mendapat pekenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tidak mahu Menteri Besar menjadi boneka. Raja Perlis melantik Adun Bintong, Datuk Seri Azlan Man menjadi Menteri Besar.

“Secara rasminya saya sudah keluar dari UMNO dan BN untuk menjadi wakil rakyat Bebas dalam negeri ini. Keputusan ini dibuat atas beberapa faktor dan antaranya ialah saya sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepemimpinan parti.

“Saya perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat… maka saya perlu seiringan dengan Kerajaan Pusat.”

Demikian antara kata Ismail kepada media malam tadi ketika mengumumkan tindakan drastiknya meninggalkan parti yang disertinya sejak 30 tahun lalu.

Seperti Pedang kata sebelum ini, huru-hara politik UMNO di Perlis bukan baru. Sejak beberapa penggal lalu sudah berlaku, angkara politiking individu.

Cuba selak balik cerita sebelum PRU yang lalu. Macam-macam hal yang timbul, daripada berebut kerusi, cantas kaki kawan, salam kalih, hinggalah BN/UMNO hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen pada PRU14 lalu. Pedang banyak menulis mengenai politik Perlis sebelum ini, termasuk yang bertajuk ‘Politik Perlis, lagu 10 budak hitam‘.

Sebelum PRU14 lagi Pedang sudah menjangka ada ahli, bekas pemimpin dan pemimpin UMNO bakal meninggalkan parti itu, berikutan politik dalaman. Dan, kini sudah semakin jelas apabila sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini – Adun UMNO Perlis isytihar jadi Bebas – telah berlaku.

Adakah ini permulaan kepada lebih ramai lagi Adun UMNO negeri itu bakal meninggalkan parti dan menjadi Bebas, lalu menyokong Pakatan Harapan (PH) yang menang tiga kerusi DUN Perlis, serta membentuk Kerajaan Pusat?

Adakah Adun UMNO yang lain pula akan memberi alasan “kami perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu menjalin hubungan dengan Kerajaan Pusat, terutama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat… maka kami perlu seiringan dengan Kerajaan Pusat”?

Selepas PRU14, BN/UMNO menguasai 10 kerusi DUN; PH (tiga); dan PAS (dua). Kini episod baru mengubah kedudukan kerusi dengan UMNO hilang satu digantikan dengan Bebas, menjadikan kerajaan Perlis menguasai 9 kerusi dalam DUN dan enam lagi adalah pembangkang.

Jika lima lagi Adun UMNO turut mengikut jejak Ismail, pastinya kerajaan BN Perlis tumbang dan PH boleh mengemukakan nama dua daripada tiga Adunnya dan seorang Ahli Parlimen sebagai calon Menteri Besar yang baharu menggantikan Azlan, asalkan mendapat sokongan majoriti Adun.

Berdasarkan Perkara 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik seperti yang tersebut: (a) Raja hendaklah mula-mula sekali melantik seorang Adun yang pada timbangannya boleh mendapat kepercayaan bilangan ramai ahli-ahli Dewan Negeri menjadi Menteri Besar bagi mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Ini menunjukkan pelantikan Menteri Besar hendaklah dalam kalangan Adun yang mendapat majoriti mudah lapan Adun untuk menubuhkan kerajaan negeri, tetapi, tidak dinyatakan daripada parti mana.

Perkara 39 (4) pula menyatakan, Raja Perlis mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar iaitu, pada masa melantik seorang Menteri Besar maka Raja boleh dengan suka hatinya sendiri meninggalkan apa-apa syarat dalam Undang-Undang Tubuh ini yang mengehadkan haknya memilih Menteri Besar, jika pada pendapatnya mustahak berbuat demikian untuk memenuhi syarat-syarat dalam Perkara ini.

Ini bermakna seorang Ahli Parlimen juga boleh dilantik ke jawatan Menteri Besar.

Berdasarkan Perkara 39 (6) pula, jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Negeri, ia hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan melainkan jika Dewan Negeri dibubarkan Raja atas permintaan Menteri Besar.

Kita kena akui bahawa sebagai negeri terkecil di Malaysia dan serba kekurangan sumber pendapatan, rakyatnya pasti memerlukan Kerajaan Pusat yang seiringan untuk dijadikan tempat bergantung.

Apapun, Pedang melihat masalah UMNO Perlis seolah-olah tidak lagi dipedulikan oleh kepemimpinan tertinggi parti peringkat pusat, yang kini sibuk berdepan pertandingan merebut jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden hinggalah kepada ketua-ketua bahagian.

Kata Pedang: Walaupun negeri kecil, Perdana Menteri perlu mempertimbang untuk melantik seseorang menjadi menteri atau timbalan menteri bagi mewakili Perlis dalam Kabinet beliau. Apa lagi hubungan baik Tuanku Syed Sirajuddin dan Dr Mahathir sudah terjalin erat sejak sekian lama.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close