Berita UtamaKata PedangUtama

Pemberontak Perlis ‘lumpuh’

Shahidan sakit, UMNO negeri perlukan pengerusi baharu

SAYA bimbang kerana kes ini menunjukkan ada pemberontak dalam negeri kita.” Demikian antara titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada istiadat angkat sumpah Ahli Exco negeri di Istana Arau, 28 Ramadan 1439H lalu.

Pemerhati politik di seluruh negara, khususnya rakyat Perlis faham apa dan siapa ‘pemberontak’ yang dimaksudkan oleh baginda.

Walaupun, baginda tidak menyebut nama ‘pemberontak’ itu, Pedang faham bahawa individu yang dimaksudkan ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Shahidan Kassim.

Mudah membuat tanggapan bahawa beliau adalah individu yang dimaksudkan. Ini kerana beliau mengetuai sembilan lagi anggota kumpulan ‘pemberontak’ yang mencetuskan krisis UMNO-Istana, apabila adiknya – Ismail Kassim – yang dicadangkannya menjadi Menteri Besar ditolak oleh Raja Perlis dengan alasan munasabah.

Sambil mengheret sembilan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis ke Kuala Lumpur pada hari Menteri Besar mengangkat sumpah di Istana Arau, 8 Ramadan lalu, walaupun dijemput untuk hadir oleh Raja sendiri, Shahidan pada sidang media menjawab soalan berkaitan kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin dengan kata-kata sinis – ‘apa murka’, ‘apa derhaka’.

Perbuatan Shahidan yang turut disertai Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin dan sembilan Adun itu telah dianggap menderhaka kepada Raja Perlis. Rakyat mula mempersoalkan dan memberi kata dua kepada kumpulan pemberontak itu.

Menyedari perkembangan tidak sihat itu, Zahidi dan lapan Adun UMNO terbabit menghadap Tuanku Syed Sirajuddin menyembah ampun dan menyokong pelantikan Azlan Man sebagai Menteri Besar. Shahidan pula dilaporkan tidak membantah tindakan itu.

Lalu, tujuh daripada Adun terbabit kemudiannya diperkenan dilantik sebagai Ahli Exco negeri, memberi petanda awal bahawa krisis UMNO-Istana Perlis sudah berakhir, sekali gus melumpuhkan pemberontakan yang bermula selepas BN Perlis menang 10 daripada 15 kerusi pada PRU14, 9 Mei lalu.

Pada 13 Jun lalu, Pedang menulis bahawa api politik UMNO di Perlis sudah terpadam, namun baranya tetap menyala. BACA DI SINI. Antara sebabnya ialah pengaruh Shahidan yang masih kuat di kalangan sembilan Adun UMNO terbabit dan beliau juga adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Pemerhati politik ketika itu (walaupun Azlan menyifatkannya sebagai spekulasi) berpendapat kumpulan pemberontak terbabit yang menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan membuat undi tidak percaya terhadap Azlan pada sidang DUN nanti, sekali gus memberi laluan kepada keperluan melantik Menteri Besar yang baharu.

Namun, ‘amaran’ oleh Raja Perlis pada istiadat angkat sumpah Ahli Exco minggu lalu, serta perkembangan dan maklumat muktahir yang Pedang peroleh sehari dua ini, menjurus kepada bara krisis itu akan terpadam terus.

Raja Perlis dalam titah baginda juga menggesa semua Adun, terutama daripada UMNO supaya tidak berpolitik 24 jam, sebaliknya menumpukan pula kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Pedang rasa semua Adun itu kena akur kerana mereka dipilih oleh rakyat, manakala UMNO di peringkat pusat tidak kira siapa yang akan menjadi Presiden, mesti melihat masalah parti itu di Perlis apabila Menteri Besar tidak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Pedang tak berani hendak kata ya atau tidak, tapi Shahidan sendiri telah mengakui bahawa beliau sedang sakit sekarang – gangguan saraf pada bahagian kaki – mungkin rasa kebas menyukarkan beliau untuk berjalan dan memerlukan kerusi roda.

Atau… seperti buah mulut orang Perlis sehari dua ini – bukan di kaki sahaja sebaliknya bermula di bahagian pinggang hingga ke bawah tidak dapat digerakkan.

Berat buat Pedang untuk mengatakannya. Namun, hakikat tajuk yang Pedang beri boleh menjelaskan situasi pemberontakan UMNO Perlis dan keadaan Shahidan ketika ini.

Apapun, Pedang turut berdoa semoga Shahidan akan kembali sembuh sepenuhnya dan dapat menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Arau.

Kata Pedang: Ramai penanam mangga harumanis mengeluh kerana sudah dua tahun berturut-turut harganya merosot. Kerajaan Perlis perlu lakukan sesuatu, termasuk melakukan promosi besar-besaran ke luar negara sebagaimana ‘Musang King’ dibawa ke China.

Kata Pedang adalah segmen Lidah Pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close