Berita UtamaKata PedangUtama

Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin

MUNCULNYA sinar matahari keemasan pagi ini, izinkan Pedang menghiasi setiap sinar dan butiran embun dengan mendoakan kejayaan, kemakmuran dan kebahagian untuk umat Islam di mana saja berada, terutama peminat Pedang.

Juga selamat menyambut Aidilfitri 1439 Hijrah. Selepas sebulan kita berpuasa, hari ini semuanya menyambut hari raya.

Pada kesempatan yang diberkati ini, semoga keajaiban Aidilfitri akan membawa seribu kebahagiaan, kedamaian dan kemakmuran, dalam hidup kita.

Pagi ini umat Islam tua muda, bertali arus ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Dan sunnah juga kita bertakbir Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar. Allahu akbar walillaahil hamd. Kemudian mendengar khutbah Aidilfitri.

Teringat Pedang masa dulu-dulu. Ramai daripada kita menghantar ucapan menyambut Aidilfitri kepada ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai yang jauh menggunakan kad.

Beli kad, tampal setem di pejabat pos kemudian hantar kepada rakan-rakan dan keluarga. Pejabat pos pula akan mengeluarkan jadual dan tempoh, bila kita sepatutnya menghantar kad raya sekiranya mahu kad itu diterima sebelum 1 Syawal.

Sekarang ini pun ada yang masih menggunakan kad ucapan Selamat Hari Raya. Tetapi, hanya sedikit. Paling ramai menghantar ucapan itu menggunakan pelbagai aplikasi di media sosial. Macam-macam ada. Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram, Telegram dan banyak lagi. Mudah dan cepat.

Pedang pun bertalu-talu menerima ucapan daripada rakan-rakan menerusi aplikasi media sosial.

Demikianlah kemajuan yang kita nikmati sekarang ini. Namun, ketika kegembiraan kita menyambut Aidilfitri dalam suasana aman dan tenteram, jangan kita lupa mereka yang sedang menderita akibat peperangan.

Bertuahlah kita berada di bumi Malaysia ini, berbanding saudara seagama kita di Palestin, Iraq, Syria, China, Yaman dan tempat-tempat lain yang bergolak. Bersyukurlah kita.

Apapun, Pedang ucap Selamat Menyambut Aidilfitri. Perjuangan masih menanti kita di hadapan.

Kata Pedang: Semoga Aidilfitri dapat menyatukan umat Islam, meningkatkan kecintaan kita kepada Islam.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net dan segala pendapat diberikan tidak melambangkan pendirian Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close