Berita UtamaDunia

Ukraine perlu bantuan AS$3 ke AS$4 bilion sebulan elak kerajaan tumbang

IMF gesa masyarakat antarabangsa tingkatkan bantuan kepada Ukraine

WASHINGTON,16 Rabiulawal 1444H, Khamis – Ukraine memerlukan bantuan sebanyak AS$3 hingga AS$4 bilion sebulan bagi memastikan kerajaan tidak tumbang ketika sedang bergelut dalam peperangan dengan Russia.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata, anggaran awal sekitar AS$3 bilion sebulan dan bantuan berkenaan akan disalurkan bagi keperluan asas di negara itu termasuk perkhidmatan sosial, infrastruktur dan kos tenaga.

Katanya, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy telah membuat rayuan kepada Bank Pembangunan antarabangsa meminta bantuan sebanyak AS$55 bilion untuk menampung defisit Bajet 2023 Ukraine serta membantu memulihkan semula negaranya.

“Ukraine kini telah menjadi penerima aliran wang tunai dan pembekalan senjata selain negara itu memohon untuk menyertai pakatan tentera NATO pada September lalu.

“Ukraine kini menjadi penerima pembiayaan bagi sektor ekonomi dan sebanyak AS$35 billion telah disalurkan oleh IMF dan Bank Dunia,” katanya ketika menghadiri mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia, semalam.

Katanya lagi, pembiayaan berkenaan merupakan tambahan kepada puluhan bilion dolar dalam bantuan ekonomi yang disalurkan terus kepada Ukraine.

Sementara itu Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen menggesa, masyarakat antarabangsa supaya terus membantu Ukraine.

AS baru-baru ini mengesahkan komitmen kepada Ukraine melalui kelulusan Kongres dan bersetuju untuk memberikan geran tambahan sebanyak AS$4.5 bilion lagi.

Ia merupakan tambahan kepada geran bernilai AS$8.5 bilion yang diberikan sekali gus menjadikan AS sebagai penyedia bantuan terbesar kepada Ukraine, buat masa ini.

Bukan sekadar itu, AS juga turut menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine sejak pencerobohan Russia pada Februari.

“Secara keseluruhannya, AS telah memberikan lebih daripada AS$$13.5 bilion dalam bantuan keselamatan kepada Ukraine sejak pentadbiran Biden, termasuk sekitar AS$12.9 bilion sejak akhir Februari,” katanya.

Konflik semakin membara dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini berikutan kejayaan serangan balas Ukraine yang merampas semula wilayah di timur laut negara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button