Berita UtamaUtama

Aidilfitri bukan ‘lesen’ lakukan perbuatan tanpa batas

Tanggungjawab muslim promosi Islam sebagai agama kedamaian

BANGI, 1 Syawal 1439H, Jumaat – Umat Islam diingatkan supaya memanfaatkan bulan Syawal untuk terus melakukan amal dan kebaikan, dan menjauhi segala larangan walaupun Ramadan sudah berakhir.

Menerusi khutbah khas Aidilfitri hari ini, Jakim berkata, Hari Raya bukanlah lesen untuk umat Islam melakukan sebarang perbuatan tanpa batas.

Bahkan katanya, bulan kemenangan umat Islam ini juga bukan masa untuk ‘membalas dendam’ kepada Ramadan, dengan makan sepuas-puasnya sehingga gagal mengawal nafsu.

“Islam berbeza dengan agama-agama rekaan manusia yang lain. Ada batasan dan sempadan yang perlu kita sentiasa jaga dan berwaspada.

“Jagalah niat, kelakuan, percakapan, pandangan dan pergaulan kita. Jagalah akhlak dan tingkah laku. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang memelihara kehormatan mereka,” kata khutbah.

Khutbah berkata, Aidilfitri menjadi titik tolak kepada perubahan untuk seluruh umat Islam memperbaiki hubungan antara satu sama lain.

Justeru katanya, perkara wajib yang boleh dibuktikan apabila tiba Syawal adalah bermaaf-maafan dengan jujur dan ikhlas, serta melupakan segala persengketaan yang membawa perpecahan.

“Selari dengan tarbiyah bula Ramadan, setiap umat Islam perlu berusaha menjauhi sebarang perbalahan, pertengkaran, mahu pun perdebatan yang merugikan,” katanya.

Jakim berkata, dalam bergembira menyambut kedatangan Syawal, janganlah sesekali melupakan mereka yang kurang berkemampuan seperti anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya.

“Jangan lupa juga kegetiran hidup saudara seagama kita yang menderita ditindas dan dizalimi di Rohingya, Palestin dan Syria.

“Mereka memerlukan perhatian, bantuan dan sokongan agar dapat meneruskan perjuangan hidup. Adalah menjadi tanggungjawab kita membantu mempromosi Islam sebagai agama kedamaian dan membenci kezaliman,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close