Berita UtamaUtama

‘UMNO sudah lama pikul biawak hidup’

BN wajar dibubar, sudah tidak relevan, kata veteran

KUALA LUMPUR, 29 Ramadan 1439H, Khamis – Pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) digesa membubarkan gabungan itu kerana didakwa sudah tidak lagi relevan, kata Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

Beliau berkata, pembubaran BN wajar kerana semangat Perikatan yang dipelopori UMNO, MCA dan MIC sejak awal merdeka sudah tidak ada pada parti itu.

“Adalah lebih baik BN dibubarkan dengan rasmi daripada membiarkan anggotanya menarik diri daripada parti.

“UMNO yang menjadi peneraju utama BN sewajarnya bertindak memanggil mesyuarat Jawatan kuasa Tertinggi BN untuk membincang keputusan pembubaran BN,” katanya seperti dilapor NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, kebanyakan veteran UMNO berpendapat ‘parti keramat’ itu telah sekian lama memikul ‘biawak hidup’ parti komponen BN.

Parti komponen lain, katanya, hanya menumpang kekuatan UMNO selama ini.

“BN kuat kerana UMNO kuat. Mereka berasakan UMNO lemah kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN gagal memerintah.

“Mereka lupa UMNO mempunyai 54 kerusi di Parlimen. Siapa sebenarnya lemah? Sebenarnya mereka yang lemah. MCA, GERAKAN dan MIC sudah tidak mampu bangkit. Mereka hanya menumpang menang di kawasan majoriti Melayu.

“Jadi kalau ada suara-suara sumbang dari MCA dan GERAKAN untuk memecat UMNO dari BN, bermakna mereka lupa sejarah dan tidak sedar diri siapa mereka selama ini yang menumpang tuah UMNO,” katanya.

Malah, beliau berkata, veteran UMNO yakin UMNO mampu berjuang sendirian demi agama, bangsa dan tanah air.

“Apa yang perlu ialah UMNO mesti kembali kepada matlamat asalnya sesuai dengan slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close