Berita UtamaUtama

UMNO perlu berubah untuk kekal relevan

Fokus khidmat kepada rakyat, bukan jawatan dan pangkat

JOHOR BHARU, 29 Ramadan 1439H, Khamis – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan UMNO masih relevan sebagai parti bangsa Melayu.

Beliau berkata, ia tidak akan berakhir walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, UMNO harus kekal sebagai parti Melayu dan tidak perlu dibuka kepada kaum lain.

“Walaupun parti ini berasaskan orang Melayu tetapi tidak bermakna ia tidak memberi manfaat kepada kaum lain.

“Kami melakukannya selama 60 tahun lalu. Apa yang boleh dilakukan UMNO sekarang ialah membuka lebih banyak kelab penyokong UMNO untuk ahli bukan Melayu dan membenarkan mereka menyokong di bawah sepanduk yang sama masa pada pilihan raya,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, UMNO dibentuk untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan ia bukan perkauman kerana kaum lain juga mempunyai organisasi untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

“Tetapi apabila UMNO membentuk kerajaan bersama dengan komponen BN yang lain, berlaku proses bagi mengimbangi keperluan orang lain, bukan hanya orang Melayu.

“UMNO parti yang mewakili orang Melayu harus diteruskan kerana keperluan dan cabaran dihadapi orang Melayu berbeza dengan kaum lain.

“UMNO juga tidak hanya bercakap untuk orang Melayu sahaja, kita akan melakukan ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan baru ini,” katanya.

Bagaimanapun, dalam keadaan ini, tegasnya, UMNO perlu berubah dan ahli perlu menyertai parti itu kerana mahu berkhidmat kepada rakyat, bukannya untuk jawatan atau perniagaan, jika mahu mengembalikan kepercayaan orang ramai.

“Kita perlu pastikan UMNO adalah parti yang mempunyai nilai. Selepas bertahun-tahun menjadi parti kerajaan kita lihat UMNO tidak mempunyai nilai lagi dengan isu rasuah, tidak bercakap benar. Kita perlu bawa semula nilai-nilai ini,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close