Berita Utama

Terpedaya janji manis wanita rugi RM128,300

Suspek janji beri hadiah, mangsa buat bayaran cukai kononnya sebagai caj penghantaran

KUANTAN, 29 Ramadan 1438H, Khamis – Seorang wanita kerugian RM128,300 selepas terpedaya dengan janji manis lelaki baru dikenali di laman media sosial.

Mangsa difaham berkenalan dengan suspek daripada negara Uncle Sam melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supritendan, Mohd Wazir Yusof berkata, penipuan berlaku apabila suspek memberitahu kononnya mahu memberikan mangsa hadiah.

“Suspek dikatakan mahu menghantar hadiah seperti baju, kasut, beg tangan, emas putih, minyak wangi, Ipad, Iphone, gelang tangan, jam tangan, barang kemas serta mata wang asing sebanyak RM111,874.14 yang dihantar pada 8 Mei.

“Mangsa kemudian mendapat panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai ejen kastam pada 11 Mei, meminta RM4,800 sebagai cukai pembayaran untuk barangan yang diterima dari luar negara,” katanya.

Wazir berkata, selepas mangsa melakukan transaksi itu, mangsa difahamkan membuat lagi bayaran sebagai caj mata wang luar negara dan barang kemas yang dihantar sebanyak RM18,500 dan RM49,000 seperti yang diminta suspek.

“Kemudian mangsa menerima panggilan lagi daripada suspek pada 14 Mei dengan meminta RM125,000 sebagai caj penghantaran barang berkenaan.

“Mangsa terus membuat bayaran secara sedikit demi sedikit bermula 21 Mei hingga 1 Jun lalu,” katanya.

Bagaimanapun selepas lebih 10 transaksi dilakukan melibatkan wang keseluruhan RM128,300, suspek meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah lagi wang ke dalam akaunnya.

“Namun mangsa enggan dan mula mengesaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close