Dunia

Israel ‘kurung’ lebih 600 kanak-kanak Palestin

Tak boleh keluar rumah, wajib pakai gelang pengesan elektronik

RAMALLAH, 3 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Lebih 600 kanak-kanak Palestin ditahan oleh mahkamah Israel di bawah tahanan rumah pada 2022, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, suruhanjaya itu berkata, pihak berkuasa pendudukan Israel menggunakan tahanan terutamanya ke atas kanak-kanak dan remaja di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Ia didakwa sebagai satu bentuk hukuman untuk kanak-kanak di bawah umur 14 tahun kerana undang-undang Israel tidak membenarkan mereka dipenjarakan.

Maka, mahkamah memerintahkan penahanan mereka di dalam rumah untuk tempoh sehingga tamat prosedur kehakiman dan keputusan dikeluarkan – yang mungkin mengambil masa beberapa hari atau lebih setahun.

Bagaimanapun, ia tidak dikira daripada tempoh hukuman sebenar yang kemudiannya akan dikenakan ke atas kanak-kanak itu.

Dalam tempoh ini, kanak-kanak itu diperintahkan untuk tidak keluar daripada rumah – termasuk ke sekolah atau klinik tanpa ditemani penyelia -selain perlu memakai gelang pengesan elektronik.

Mengikut statistik rasmi, terdapat lebih 600 kes tahanan rumah untuk kanak-kanak sepanjang tahun ini, membabitkan dua jenis keadaan yang ditetapkan.

“Pertama, kanak-kanak itu kekal di rumah keluarga sepanjang tempoh yang ditetapkan mengikut kepitusan mahkamah, namun ibu bapa dipaksa untuk menggadai harta bagi menyimpan sejumlah wang dalam perbendaharaan mahkamah bagi memastikan pelaksanaan syarat pembebasan anak mereka.

“Kedua, yang paling sukar dan rumit ialah mengeluarkan kanak-kanak itu dari rumah keluarganya dan memaksa mereka tinggal di sebuah rumah luar bandar, yang kini terpakai kepada empat kanak-kanak dari Baitulmaqdis di bawah umur 18 tahun,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata, tahanan rumah meninggalkan kesan psikologi yang sukar kepada kanak-kanak dan keluarga mereka, kerana terpaksa memantau anak pada setiap masa.

Dasar penahanan rumah juga melucutkan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan dan mewujudkan kebimbangan serta ketakutan kepada mangsa.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button