Dr Ahmad Sanusi AzmiKolumnis

Tanda amalan diterima Allah

1. BENAR, tiada siapa yang mengetahui samada amalan mereka diterima Allah atau tidak. Namun sebahagian sarjana Muslim memberikan pandangan bahawa terdapat tanda-tanda amalan seseorang itu diterima.

2. Pertama, dia tidak kembali kepada maksiat. Ini adalah tanda yang paling utama. Seharusnya amalan seseorang itu menjauhkan diri mereka dari maksiat. Amalan tersebut menjadi sebati dalam dirinya, membentuk darah dagingnya sehingga menjadikan dirinya membenci maksiat.

al-Imam Ibn al-Qayyim berpesan di dalam kitab Madarij al-Salikin: “Sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadah) masih merasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 hari.”

3. Kedua, amal kebaikannya menghasilkan kebaikan yang lain. al-Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Salah satu pulangan amal soleh adalah, ia menghasilkan amal soleh yang lain. Amalan yang kita lakukan selama sebulan ini seharusnya menjadi sebati dalam diri kita dan menghasilkan amal soleh yang seterusnya.”

Malah al-Hasan mengingatkan kita bahawa: “Sekiranya kebaikanmu tidak memberikan pertambahan (amal), maka di situ pasti ada kekurangan (kesempurnaan amalan tersebut).

4. Ketiga, Istiqamah dengan Amal Soleh. al-Imam Ibn Kathir menyebut: Sesungguhnya telah menjadi fitrah manusia di mana Allah akan mencabut nyawa seseorang itu dengan amal yang dilakukan secara konsisten. Sekiranya seseorang konsisten melakukan kebaikan, maka dia akan mati dalam kebaikan. Sekiranya seseorang konsisten dengan kemungkaran, maka dibimbangi dia akan mati dengan perbuatan yang telah biasa dia lakukan.

Dengan sebab itu al-Bukhari merekodkan satu insiden yang menarik. Seorang sahabat telah meninggal ketika menunaikan haji. Ketika meninggal, dia masih berpakaian ihram. Lalu Rasulullah meminta para sahabat mengkafankan beliau dengan pakaian ibadah tersebut. Sabda Rasulullah: Kafankan beliau dengan pakaiannya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyyah (lafaz talbiah Haji yang memuji Allah).

Mudah-mudahan Allah menerima amal soleh kita semua.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close