Berita UtamaUtama

Jho Low sedia bertemu SPRM di Dubai

Perbincangan antara peguam, pihak berkuasa Malaysia sudah bermula

BANGI, 29 Ramadan 1439H, Khamis – Hartawan Malaysia yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menyatakan kesediaannya bertemu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dubai.

Menurut laporan sebuah portal yang memetik sumber kerajaan berkata, Jho Low bersedia bertemu dengan pasukan petugas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan memaklumkan perkara itu kepada SPRM melalui peguamnya.

Bagaimanapun, sebelum pertemuan itu, beberapa peguam Jho Low dijangka bertemu dengan pegawai SPRM di Dubai bagi membincangkan siasatan yang boleh dibantu anak guam mereka.

Setakat ini, tarikh pertemuan antara SPRM dan peguam ahli perniagaan itu masih belum ditetapkan.

Laporan itu turut mendakwa, peguam Jho Low telah mengesahkan bahawa perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia sudah bermula, namun sumber enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.

Jho Low adalah antara individu yang paling dikehendaki pihak berkuasa ketika ini, kerana didakwa terlibat dengan kes penyelewengan dan salah guna kuasa dana 1MDB.

Sebelum ini, Jho Low telah menyatakan kesediaannya membantu siasatan SPRM berhubung kes itu, dan mengarahkan peguamnya untuk menghubungi suruhanjaya berkenaan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close