Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Arab Saudi, UAE lancar serangan besar-besaran ke atas Hudaida

Tempoh masa diberi kepada militan Houthi serah pelabuhan berakhir

SANA’A, 29 Ramadan 1439H, Khamis – Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini melancarkan serangan ke atas Pelabuhan Hudaida, Yaman, – serangan terbesar sejak konflik tiga tahun antara puak Syiah Houthi yang disokong Iran dengan pakatan negara diketuai Riyadh.

Serangan udara bermula pagi tadi menyasarkan kedudukan kumpulan pemberontak Houthi, dengan sokongan operasi tentera darat kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa, di selatan Laut Merah

“Kerajaan dalam buangan telah menggunakan pelbagai cara, termasuk politik, dalam usaha menghalau militan Houthi dari Pelabuhan Hudaida.

“Pembebasan Pelabuhan Hudaida adalah titik perubahan dalam perjuangan untuk menawan semula Yaman daripada tawanan militan.

“Pembebasan pelabuhan itu juga adalah permulaan kejatuhan militan Houthi, dan boleh menjamin keselamatan industri perkapalan di Selat Bab al-Mandab, serta memintas sokongan Iran kepada kumpulan pemberontak,” kata satu kenyataan kerajaan.

Pelabuhan Hudaida adalah satu-satunya pelabuhan yang dikuasai militan Houthi, terletak kira-kira 150 kilometer di barat daya Sana’a. Pelabuhan Hudaida adalah penting untuk aliran bekalan makanan ke negara yang berada di ambang kebuluran itu.

Mengikut laporan Al Arabiya, pasukan tentera kerajaan Yaman juga sudah berjaya menawan bandar di selatan wilayah Nekheila.

Serangan hari ini dilakukan selepas tarikh akhir diberikan UAE kepada militan Houthi yang menguasai Sana’a untuk menyerahkan pelabuhan itu kepada tentera pakatan diketuai Arab Saudi.

Dengan pelbagai peralatan logistik dibekalkan Amerika Syarikat (AS), pakatan tentera Arab Saudi melakukan serangan ke atas Yaman sejak Mac 2015, membunuh sekurang-kurangnya 10,000 penduduk, dalam usaha mengembalikan kekuasaan Presiden Abu-Rabbu Mansour Hadi.

Terdapat kira-kira 600,000 penduduk tinggal di Hudaida dan dianggarkan sehingga 250,000 daripada mereka akan kehilangan segala-galanya, termasuk nyawa, dalam serangan tentera pakatan Arab Saudi. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close