Berita UtamaKata PedangUtama

Politik Perlis api dalam sekam

Pemerhati berpendapat 'pengiktirafan' lapan Adun UMNO kepada Azlan Man hanya untuk meredakan sengketa. Ada kemungkinan undi tak percaya terhadap Menteri Besar akan dibuat pada sidang DUN

PEDANG sudah balik ke Utara – Kedah dan Perlis – untuk sambut Aidilfitri dua tiga hari lagi. Bertolak dari ibu negara kira-kira jam 12 tengah malam dan alhamdulillah sampai ke destinasi lebih kurang jam 6 pagi.

Kenderaan di lebuh raya tidak berapa banyak kecuali di sesetengah tempat, terutama kawasan berbukit di Lebuh Raya Utara-Selatan, dari ibu negara hingga ke Ipoh agak perlahan di sebabkan banyak kenderaan berat.

Kadang-kadang Pedang terpaksa memperlahankan kereta apabila di kawasan berbukit pun kenderaan berat hendak memotong treler yang sarat dengan muatan. Ini juga antara punca lebuh raya turut sesak dan perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Kenderaan berat ini sama lah juga dengan politik di negeri kelahiran Pedang – Perlis. Negeri kecil tapi mainan politiknya berat, terutama politik sebelum setiap parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, yang akhirnya menyaksikan UMNO menang sembilan kerusi dan MCA menang tipis satu kerusi, berbanding 15 kerusi yang ada.

Lima lagi – tiga daripadanya dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan PAS pula menambah satu kerusi menjadikannya parti itu menguasai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun, UMNO terus menguasai negeri, kerajaan induk di peringkat Pusat telah berubah daripada BN kepada PH. Namun, api politik UMNO Perlis terus menyala dengan krisis pelantikan MB, apabila abang yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan ‘menguasai’ sembilan Adun UMNO mahukan adiknya menjadi MB.

Penolakan secara tertib oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail dengan memberi alasan bimbang MB yang dicadangkan itu akan menjadi boneka, seterusnya melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai MB, dijawab dengan kata-kata sinis ‘apa murka’, ‘apa derhaka’ dan perbuatan memboikot majlis angkat sumpah MB di Istana Arau.

Maka bermulalah krisis UMNO dengan istana. Dan ‘terlatah’ pula Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri apabila meminta Kerajaan Pusat yang bukan UMNO campur tangan menyelesaikan isu itu. Ramai yang terkejut dan ketawa dengan permintaan itu.

Akhirnya, lapan daripada Adun UMNO menyembah memohon ampun kepada Raja Perlis setelah baginda murka, dan menimbulkan kemarahan rakyat kerana dianggap menderhaka kepada Raja.

Dan, hari ini Adun UMNO yang pada mulanya menolak Azlan sebagai MB, bersetuju menyertai kerajaan. Tujuh daripada mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri di Istana Arau, di hadapan Raja Perlis.

Mereka ialah Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat); Azizan Sulaiman (Santan); Rozaini Rais (Beseri); Asmaiza Ahmad (Chuping); Siti Berenee Yahya (Mata Ayer); Hamizan Hassan (Kayang; Roziena Ahmad (Pauh). Seorang lagi mewakili MCA ialah Teh Chai Ann (Titi Tinggi).

Ya! Api sudah terpadam, tapi Pedang berani kata baranya masih menyala. Pendapat Pedang diakui pemerhati politik tempatan dan bekas wakil rakyat Perlis, yang menyifatkannya ‘sejuk sementara’.

Ini berdasarkan kerajaan negeri ditadbir oleh UMNO – MB UMNO dan Ahli Exco juga UMNO. Pastinya Speaker DUN juga di kalangan Adun UMNO, atau boleh juga bekas Adun atau pegawai kerajaan.

Tetapi, yang musykilnya ialah UMNO Perlis dikuasai oleh individu lain yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan negeri, yang turut ‘menguasai’ sembilan Adun UMNO.

Kata seorang pemerhati politik Perlis, silap haribulan bara itu akan menyala semula jika MB tidak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, seterusnya mengawal UMNO negeri.

Paling diperhatikan ialah pada sidang DUN yang bakal diadakan beberapa kali dalam tempoh lima tahun ini. Mungkin tidak berlaku undi tak percaya kepada MB Azlan pada sidang pertama selepas PRU, tetapi tidak mustahil akan timbul pada masa depan.

Atau, mungkin juga Tuanku Syed Sirajuddin perlu sekali lagi memberi peringatan supaya semua Adun yang dipilih oleh rakyat memainkan peranan masing-masing untuk membangunkan negeri Perlis, berbanding lebih banyak beretorik dalam politik cantas mencantas.

Apapun, Pedang rasa Azlan perlu memperkuatkan pengaruhnya di kalangan UMNO negeri, peringkat Pusat dan rakyat Perlis, selain menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya Perlis tidak ketinggalan daripada arus pemodenan dan pembangunan.

Kata Pedang: Tun Dr Mahathir rapat dengan Tuanku Syed Sirajuddin, pastinya tidak akan mengetepikan Perlis daripada rencana pembangunannya.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close