Berita Utama

MB Perlis yakin Kerajaan Pusat sokong projek untungkan negara

Azlan anggap undi tak percaya hanya spekulasi, percaya Adun UMNO

ARAU, 28 Ramadan 1439H, Rabu – Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyokong projek pembangunan di negeri yang sedang dilaksanakan dan menguntungkan negara.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak akan abaikan Perlis kerana beliau telah menyebut tidak akan mendiskriminasikan negeri-negeri yang bukan dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH).

Ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu, negeri-negeri dikuasai pembangkang tidak dipinggirkan,” katanya pada sidang media mengumumkan portfolio anggota Exco kerajaan negeri selepas mereka mengangkat sumpah jawatan, hari ini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri istiadat itu serta menyampaikan watikah kepada anggota-anggota Exco tersebut di Balai Menghadap Istana Arau sebelum itu.

Mereka ialah Adun Chuping, Asmaiza Ahmad dan diikuti Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat), Azizan Sulaiman (Santan), Hamizan Hassan (Kayang), Ruzaini Rais (Beseri), Rozieana Ahmad (Pauh), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Teh Chai Aan (MCA-Titi Tinggi).

Beliau yang menjawab kemungkinan akan menghadapi undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri kelak berkata: ‘Saya percaya dengan hati yang mendalam bahawa mereka tidak akan lakukannya. Perkara itu pula saya anggap sebagai spekulasi sahaja.”

Azlan berkata, beliau yakin titah Raja Perlis supaya semua wakil rakyat terutama Exco-Exco yang dilantik melupakan politik untuk memberi fokus kepada rakyat dan negeri menjadi keutamaan mereka.

Katanya, keutamaan beliau ialah projek yang sedang dilaksanakan seperti pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA), manakala projek-projek tertentu akan dinilai semula untuk memberi imput terbaharu kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi membuat pertimbangan.

“Projek ini (CVIA) adalah projek besar yang turut menguntungkan negara. Kita telahpun mendapat pelabur yang berminat. Justeru, saya akan berbincang dengan kementerian berkaitan supaya projek ini diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan pusat,” kata Azlan.

Berikut adalah portfolio anggota Exco yang dilantik, hari ini:

Azlan (Pentadbiran dan Kewangan; Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa; Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri; Hal Ehwal Tanah dan Keselamatan dan Ketenteraman Awam).

Asmaiza (Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan; Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru; Pelancongan dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).

Nurulhisham (Pertanian dan Industri Asas Tani; Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam).

Azizan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Penjaja dan Peniaga Kecil; Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana).

Hamizan (Kemudahan dan Prasarana Awam; Pengangkutan; Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan).

Ruzaini (Hal Ehwal Agama Islam; Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan).

Rozieana (Pendidikan; Pembangunan Sumber Manusia; Sains, Teknologi dan Inovasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)).

Siti Berenee Yahaya (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Perpaduan Masyarakat dan Tugas-Tugas Khas).

Teh Chai Aan (Sumber Asli dan Alam Sekitar; Bioteknologi dan Teknologi Hijau dan Kesihatan). – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close