Berita UtamaUtama

Isu Speaker: Mukhriz tak ‘cuak’

Rakyat Kedah diminta bayar tunggakan cukai tanah

ALOR SETAR, 28 Ramadan 1439H, Rabu – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan negeri akan kekal, walaupun isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) belum selesai.

Pada sidang media selepas mesyuarat Exco negeri di sini, hari ini, beliau mengesahkan menemui tiga Adun Barisan Nasional (BN) semalam, bagi membincangkan pelbagai perkara, termasuk isu pelantikan Speaker.

“Saya berjumpa dengan semua orang, PAS pun saya jumpa untuk bincang macam-macam perkara. Bagi isu pelantikan speaker ini kita tunggu dan lihat tetapi saya tengok saya tidak ‘cuak’ jadi adalah caranya dan ia positif,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta rakyat Kedah menjelaskan bayaran tunggakan cukai tanah bagi membolehkan hasil pendapatan diperoleh untuk menguruskan kewangan negeri dengan lebih teratur.

Beliau berkata, apabila berlaku terlalu banyak tunggakan pembayaran ia akan menjejaskan hasil pendapatan kerajaan negeri dan sekali gus tidak dapat digunakan untuk keperluan rakyat.

“Apabila rakyat tidak menjelaskan bayaran, hasil pendapatan kerajaan negeri akan terjejas dan akan menyebabkan perbelanjaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan tidak dapat dilaksanakan.

“Kita tahu ada yang tidak bayar kerana tidak mampu tetapi ada juga yang bila kita siasat dan kaji, mereka ini mampu tetapi tidak mahu menjelaskan bayaran sedangkan di rumah kereta ada dua, tiga buah,” katanya.

Mukhriz berkata, kewangan negeri sekarang tidak berada pada tahap sempurna dengan pendapatan adalah terhad sedangkan kos perbelanjaan masih meningkat, jadi rakyat dirayu untuk menunaikan tanggungjawab menjelaskan semua tunggakan cukai yang ada. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close