Tarbiyyah

Seronoknya berdakwah

BERDAKWAH fitrahnya susah dan penuh dengan pelbagai dugaan dan ujian. Ia menuntut peluh, air mata dan bahkan titisan darah untuk dilaksanakan.

Tugas asasi yang suci ini memerlukan pengorbanan luar biasa sepertimana yang telah ditunjukkan oleh para rasul yang terdahulu, sahabat Nabi s.a.w dan pejuang Islam kontemporari yang menyusuli mereka.

Namun demikian, ini tidaklah bermakna kita sebagai pejuang gerakan Islam sentiasa dan selamanya perlu menunjukkan muka yang amat serius dan bengis, sentiasa tegas dan berterus-terang serta amat kering dari sebarang unsur-unsur hubungan manusiawi dalam amal berorganisasi.

Rasulullah SAW juga tertawa dan bergurau

Siapakah yang lebih getir perjuangannya dalam menegakkan risalah Islam dari junjungan mulia Rasulullah s.a.w? Pun begitu, Baginda diriwayatkan sentiasa tersenyum dan bermanis muka dengan ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Jarir bin `Abdullah berkata yang maksudnya:

“Semenjak aku memeluk Islam, Rasulullah s.a.w tidak pernah menghalang aku mengunjungi Baginda. Apabila melihatku, Baginda selalu tersenyum.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi)

Nabi s.a.w juga tertawa dalam beberapa peristiwa sehingga terlihat gigi geraham Baginda.

Dalam beberapa peristiwa yang lain, Rasulullah s.a.w bergurau dengan memanggil Anas Bin Malik r.a dengan gelaran ‘wahai pemiliki dua telinga’, Baginda memeluk pemuda bernama Zahiran sebagai menunjukkan kemesraan dan menyatakan kepada seorang wanita tua bahawa ‘syurga tidak didiami oleh orang tua’.

Justeru, salah satu budaya yang perlu dihidupkan dalam gerakan dakwah ialah suasana mesra yang mendamaikan. Penuh dengan kekuatan ukhuwah, timbang rasa dan perasaan saling memerlukan antara satu sama lain.

Tidak salah sekiranya sesi mesyuarat dan program diselang-selikan dengan gurauan yang benar dan usikan manja selagimana tidak mencemar syariat yang sentiasa menjadi tunjang perjuangan.

Raikan keperluan psikologi dan fisiologi

Secaranya nalurinya, manusia digerakkan oleh perasaan. Perasaan pula ditentukan oleh elemen psikologi dan fisiologi.

Sebagai contoh seorang pekerja yang mendapat gaji yang lumayan akan bekerja dengan penuh komitmen dan kesungguhan kerana termotivasi dengan matlamat dan ganjaran yang bakal diperolehi pada setiap akhir bulan.

Begitulah juga halnya dengan seorang pekerja wanita yang bekerja dengan sangat fokus dan gembira apabila majikan menyediakan khidmat penjagaan bayi (nursery) di tempat kerja secara percuma.

Gerakan dakwah, walaupun mungkin terbatas dari segi kekuatan sumber kewangan untuk memenuhi keperluan psikologi dan fisiologi para ahlinya, perlu kreatif untuk mencari formula yang terbaik bagi memenuhi keperluan ini.

Inisiatif yang meraikan pencapaian organisasi, ganjaran ringkas atas sumbangan individu tertentu, ucapan dan hadiah sempena hari istimewa, sesi team building atau hari keluarga, rombongan atau trip kembara adalah antara contoh pendekatan yang boleh diambil untuk mencetus perasaan seronok dalam kerja dakwah yang amat mencabar dan menguji kesabaran.

Para pimpinan juga perlu menyusun sistem sokongan yang utuh untuk membolehkan setiap ahli menyumbang secara optimum tanpa rasa terbeban.

Contohnya, dengan menyediakan sistem tuntutan kewangan yang mesra pengguna, sistem sokongan kewangan peribadi dan penjagaan anak, khidmat nasihat kekeluargaan dan pendidikan anak, masa dan pendekatan mesyuarat yang anjal, budaya kerja yang mesra serta saluran komunikasi yang berkesan.

Ceritakan tentang syurga

Saya percaya kekuatan psikologi yang paling kuat ialah matlamat yang jelas. Ia mampu menolak setiap individu untuk memberikan segalanya dengan rela hati.

Sebagai seorang pendakwah, sudah tentulah matlamat terbesar yang sentiasa dikejar ialah untuk mendapat redha Allah swt dan memasuki syurga-Nya. Syurga yang penuh dengan keseronokan ini mampu memotivasikan kita semua untuk bekerja menegakkan risalah Islam dengan penuh keseronokan.

Segala kenikmatan makanan dan minuman, layanan bidadari, suasana yang mendamaikan serta kesempatan melihat wajah Allah s.w.t seharusnya diceritakan berkali-kali, dipasakkan dalam mentaliti setiap ahli, dipromosikan dalam pelbagai saluran yang rasmi bagi membina gambaran akhir perjuangan dakwah yang amat mulia ini.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambak-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (Al-Fajr 27-30)

Seronok bukan? Melakukan sesuatu yang kita suka (berdakwah) demi mendapat sesuatu yang kita mahu (syurga)!

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close