Berita UtamaUtama

Projek kereta nasional baharu langkah terkebelakang, dakwa KJ

Dr Mahathir patut buat penambahbaikan pengangkutan awam, kurangkan kos projek MRT3

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 26 Ramadan 1439H, Isnin – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan projek kereta nasional yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai langkah regresif dan terkebelakang.

Beliau berkata, hasrat Perdana Menteri itu tidak mesra alam dari aspek pelepasan karbon dioksida, bahkan memerlukan kos belanja yang besar daripada kerajaan, yang sepatutnya wang itu disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.

“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105%, pastinya membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional.

“Melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, namun saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar.

“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir dalam dialog Persidangan Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei), di Jepun hari ini memberitahu berhasrat untuk mengeluarkan kereta nasional baru selepas kepentingan Proton dijual kepada syarikat China, tahun lepas.

Perdana Menteri ketujuh itu berkata, projek kereta berkenaan akan membabitkan rakan-rakan negara ASEAN yang lain.

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengharapkan kerajaan melalui jemaah menteri memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju meneruskan projek ini.

Katanya, kerajaan patut memberi keutamaan masa dan sumber kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam.

“Antaranya kerjasama dengan pihak swasta dalam menambahbaik ‘last-mile connectivity’ seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal, kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility).

“Ia termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem yang lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close