Berita UtamaUtama

Pertukaran dalaman, lantikan baharu dibekukan serta-merta: Dr Maszlee

Menteri Pendidikan percaya wujud unsur sabotaj terhadap kerajaan PH

PUTRAJAYA, 26 Ramadan 1439H, Isnin – Kementerian Pendidikan membekukan semua pertukaran dalaman dan lantikan baharu di semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan drastik itu diambil berikutan wujud unsur-unsur dipercayai ingin mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita dapati terdapat unsur untuk menempatkan pegawai yang masih setia dengan rejim lama di pos-pos strategik di PPD dan JPN.

“Kita juga dapati rungutan dan aduan daripada ramai guru serta pihak terlibat bahawa mereka inilah yang sedang merancang untuk menguasai pos tertentu, dan ini agak membahayakan agenda pendidikan yang ingin kita bawa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Serentak itu, beliau telah mengarahkan kenaikan pangkat dan pertukaran di peringkat JPN serta PPD, yang dibuat dalam tempoh dua bulan lalu disemak semula.

“Kami di Kementerian Pendidikan menerima banyak pandangan mengenai percaturan yang mempunyai unsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah, melalui JPN dan PPD.

“Ini adalah perkara yang mengecewakan saya, kerana kita tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Menerusi tindakan itu, Dr Maszlee berharap supaya rakyat mendapat mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir yang membawa unsur-unsur tidak sihat dalam pentadbiran, khususnya institusi pendidikan negara.

“Terutama mereka yang sengaja mahu menyukarkan kita mereformasi sistem pentadbiran negara agar selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan.

“Ini agak penting demi memastikan apa yang ingin dibawa Pakatan Harapan dapat berjalan lancar,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close