Uncategorized

Tabung Harapan hanya untuk bayar hutang

Kalau jumlah tabung tidak cukup kerajaan akan tambah

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1439H, Ahad – Sumbangan yang disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sekiranya jumlah tabung itu tidak mencukupi, kerajaan akan menampung baki yang diperlukan bagi melunaskan hutang tersebut.

“Kita tidak akan menggunakannya bagi tujuan lain. Ini memang tidak dibenarkan. Jika jumlah tabung itu tidak cukup, kerajaan akan menambah jumlah selebihnya.

“Sebagai contoh, jika kita mahu membayar ansuran hutang kira-kira RM200 juta tetapi Tabung Harapan itu cuma ada RM50 juta, maka bakinya akan ditampung oleh kerajaan,” katanya dalam dalam temu bual dengan Bernama.

Tabung Harapan Malaysia yang berjaya mengumpul RM54.89 juta setakat 9 Jun, 2018, ditubuhkan pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat menyalurkan sumbangan selepas paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhannya juga membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat itu secara sistematik dan telus.

Dalam pada itu, Lim berkata, kerajaan akan melantik firma audit luaran bagi memastikan aspek ketelusan.

“Ada pihak mencadangkan supaya mereka (firma audit luaran) memberi perkhidmatan itu secara percuma. Cadangan ini memang saya alu-alukan dan sokong. Bagaimanapun, kita perlu mencari firma audit yang sudi menawarkannya secara percuma dan amat berterima kasih,” katanya berseloroh.

Selain itu ada warga Malaysia di luar negara yang menggesa kerajaan mendapatkan bantuan kedutaan asing bagi memudahkan sumbangan derma kepada Tabung Harapan.

Laporan sebelum ini menyatakan, anak kelahiran Pulau Pinang, K. Gurunathan yang dilantik sebagai Datuk Bandar Kapiti Coast di Wellington, New Zealand, akan menyumbangkan NZ$1,000 (kira-kira RM2,802) kepada Tabung Harapan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menolak politik kaum, diskrimasi dan rasuah serta tinggal di New Zealand, saya merayu kepada diaspora Malaysia di New Zealand dan serata dunia untuk sama-sama menyokong kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ada seramai 700,000 hingga sejuta rakyat Malaysia di serata dunia, termasuk 18,000 orang di New Zealand.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close