Berita UtamaUtama

Piala Dunia: Maxis Berhad penaja utama siaran langsung RTM

Perincian penyiaran Piala Dunia 2018 diputuskan Selasa ini

PUTRAJAYA, 23 Ramadan 1439H, Jumaat – Perincian berhubung penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 oleh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), termasuk berkaitan penajaan akan dikongsi Selasa ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, satu sidang media berhubung perincian itu, seperti jumlah tajaan, bilangan perlawanan yang akan disiarkan dan keuntungan yang dijana akan diadakan di The Glass House, Seputeh, Kuala Lumpur.

“Semua orang teruja untuk tahu mengenai hal itu, jadi kita akan bawakan pasukan dari RTM bagi menjawab segala perkara berkaitan siaran bola sepak tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa kementerian itu, di sini hari ini.

Beliau mendedahkan setakat ini Maxis Berhad adalah penaja utama rancangan itu.

Sebelum ini, Gobind mengumumkan kerajaan melalui RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia bermula 14 Jun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 27 perlawanan akan ditayangkan secara langsung, manakala bakinya disiarkan melalui siaran tertunda.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan tidak akan membuat sebarang pembayaran kerana pihaknya berjaya mencari penaja untuk membiayai kos bernilai RM30 juta bagi siaran langsung Piala Dunia itu.

Ditanya kemungkinan terdapat penambahan jumlah tayangan siaran langsung, Gobind berkata, beliau telah mengarahkan RTM untuk melihat perkara tersebut jika boleh dilakukan.

“Yang pasti perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir akan disiarkan oleh RTM,” katanya.

Piala Dunia 2018 akan berlangsung di 12 lokasi di Rusia dengan perlawanan pertama dijadual bermula pada 14 Jun ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close