Berita UtamaUtama

Timbalan Mufti sifatkan seruan hapus, perkecil peranan agensi agama ganjil

Malaysia sudah lama diperkukuhkan dengan perundangan Islam

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Ramadan 1439H, Jumaat – Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim menyifatkan seruan untuk menghapuskan mahupun mengecilkan peranan agensi yang mengurus hal ehwal agama Islam di negara ini sebagai satu seruan yang amat ganjil.

Beliau berkata, negara ini yang majoriti penduduknya adalah orang Islam telah kukuh dengan perundangan dan amalan Islam sejak zaman berzaman.

“Dalam konteks pentadbiran negara kita, agensi agama sama ada peringkat Pusat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berfungsi sebagai penyelaras kepada pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia; manakala di peringkat negeri diwujudkan agensi seperti Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk melaksanakan polisi-polisi yang telah ditetapkan dan diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan sebagai ketua-ketua Agama Islam di negeri-negeri.

“Apa yang sedang berlaku di negara ini, di mana Islam diurus oleh pemerintah sama ada pemerintah pusat mahupun negeri selaras dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Inilah yang membezakan negara ini dengan negara sekular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat semula peranan Jakim dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam untuk membincangkan masa depan jabatan itu.

Katanya, langkah itu dibuat bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan atau dikembalikan kepada tujuan asal ditubuhkan.

Sementara itu, seorang pengkritik Jakim, Tawfik Ismail, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Benut dari tahun 1986 hingga 1990 menyuarakan bantahannya terhadap rancangan untuk menilai peranan agensi itu, dan mengatakan ia sepatutnya dibubarkan terus.

Mengulas lanjut, perkara berkenaan, Ustaz Zamri berkata, sesungguhnya Islam adalah satu agama yang mengatur kehidupan individu dan bermasyarakat bahkan bernegara.

Katanya, pandangan yang mengatakan agama adalah semata-mata urusan peribadi dan tidak perlu di selenggara oleh kerajaan adalah pandangan yang salah dan tidak bersumber kepada ajaran Islam sebaliknya ia adalah antara doktrin utama fahaman fahaman liberalisme.

“Fahaman liberalisme lebih suka meluaskan keadilan sosial dan perspektif individu bukan dari perspektif masyarakat keseluruhan.

“Urusan agama biarlah diurus sendiri oleh individu dan negara tidak berhak campur tangan.

“Bagi fahaman ini, negara hanyalah alat (The State is Instrument) yang akan menjadi pengawal agar setiap individu mencapai kehendak-kehendak mereka tanpa sebarang gangguan. Kehendak individu lebih diutamakan dari keperluan masyarakat.

“Dengan ungkapan yang lebih jelas negara tidak mencampuri urusan peribadi warga negaranya termasuklah urusan beragama.

Pandangan ini jelas sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Al-Quran jelas menyatakan perlunya kerajaan dan masyarakat sama-sama memikul tanggungjawab menjaga agama dan mengekang perkara yang melanggar peraturan agama yang berlaku di dalam masyarakat,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close