Berita UtamaUtama

Singapura bantu Malaysia bawa pulang berbilion ringgit wang 1MDB

Pasukan Petugas Khas 1MDB sedang kesan aliran wang, aset di seluruh dunia

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1439H, Khamis – Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama membawa pulang sejumlah besar wang yang disyaki diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia dan Singapura di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pagi tadi.

Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia dianggotai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador. Pegawai Bank Negara Malaysia turut hadir.

Sementara, pasukan siasatan Singapura dianggotai sembilan pegawai kanan Pejabat Peguam Negara Singapura; Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura; dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Pasukan Petugas Khas 1MDB memberitahu, kerjasama itu juga bertujuan mengumpul bahan bukti dan mengesan saksi di Singapura secepat mungkin.

“Selain itu, pasukan ini juga akan melakukan ‘money trail’ bagi mengesan wang serta aset yang masih wujud,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

1MDB yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini disiasat oleh sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland, atas dakwaan penyelewengan AS$4.5 bilion (RM17.9 bilion).

Singapura sebelum ini, menutup cawangan dua bank Swiss – Falcon dan BSI – kerana pengubahan wang haram yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Pihak berkuasa negara itu turut mendenda dua bank lain, UBS dan DBS, kerana melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang haram. Switzerland pula mendenda Coutts Bank kerana pengubahan wang haram.

Lima bekas pengurus bank di Singapura juga didenda dan dipenjarakan kerana peranan mereka dalam pergerakan dana haram 1MDB daripada akaun berkait dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho. Jho Low adalah seorang daripada empat individu yang dinamakan dalam saman Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk menyiasat skandal 1MDB dan bertindak terhadap sesiapa yang mungkin bersubahat, atau mendapat manfaat daripada rasuah berkaitan dana terbabit.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close