Berita UtamaKolumnisUtama

Mempertahan UiTM daripada agenda bukan Bumiputera

Kaum India, Cina sudah diberi keistimewaan di sektor pendidikan

SAMA ADA benar atau tidak, atau kesepakatan adik beradik untuk menguji – isu kemasukan bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) – tidak sepatutnya terus dibangkitkan, jika masing-masing mengetahui kedudukan universiti itu sendiri.

Sebagaimana diketahui, UiTM awalnya diletakkan dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ditubuhkan pada 1 Mac 1966 mengikut Akta Parlimen, hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.

BACA: Sejarah Mara

Perhatikan juga sejarah penubuhan UiTM ini – kewujudannya adalah hasil daripada kajian dan penyelidikan yang diusahakan oleh kerajaan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 yang menyatakan bahawa negara menghadapi masalah kekurangan pekerja terlatih pada tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera.

BACA: Kenali UiTM

Lalu, apakah motif Hindraf 2.0 (pertubuhan tidak berdaftar), yang menggunakan nama Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), anggota dalam Pakatan Harapan (PH), membangkitkan isu kemasukan kaum India ke UiTM?

Perlu diketahui bahawa individu yang mengeluarkan kenyataan mengenai isu UiTM itu dan mendakwa dirinya ialah Ketua Hindraf, sebagaimana dilaporkan Utusan Online, adalah P Uthayakumar, sementara, Hindraf yang menganggotai PH pula dipengerusikan, P Waytha Moorthy. Kedua-duanya adalah adik beradik, yang menjadi aktivis Hindraf pada awal penubuhannya.

Jika mengikut laporan semalam, Uthayakumar dalam kenyataannya menuntut kerajaan PH menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India berpendapatan rendah untuk memperbaiki taraf hidup mereka, termasuk pengajian di UiTM.

Uthayakumar mendakwa, langkah itu penting kerana sepanjang lebih 60 tahun negara ditadbir Barisan Nasional (BN), kerajaan sebelum ini gagal membangunkan kaum India yang ketinggalan berbanding kaum lain.

Bagaimanapun, Waytha Moorthy pula menegaskan bahawa Hindraf tidak terbabit menghantar memorandum kepada kerajaan dan Majlis Penasihat Kerajaan, sebaliknya ia dibuat melalui gerakan diketuai abangnya yang menggunakan nama Hindraf 2.0 dan tidak mewakili Hindraf.

Namun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara itu semalam, hanya berkata, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan 25 tuntutan Hindraf 2.0, termasuk berkaitan tanah rancangan Felda dan kemasukan ke UiTM.

Sama ada, kedua-dua beradik itu berpakat atau tidak untuk menguji Perdana Menteri baharu kerajaan PH, penulis tetap yakin bahawa Dr Mahathir tidak bermaksud akan membuka peluang kemasukan kaum lain ke UiTM, sebaliknya akan mencari jalan lain untuk memperkasakan masyarakat India supaya mampu bersaing dengan kaum lain di Malaysia.

Selain tidak terdapat akujanji membuka ruang kepada kaum lain memasuki UiTM dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) PH yang lalu, Akta 173 menjelaskan mengenai segala hal berhubung penubuhan UiTM.

BACA: Akta 173

Pada masa sama, penulis memetik tulisan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah yang memberi tiga sebab kenapa UiTM perlu dikekalkan seperti sedia ada.

Pertama dalam pendapatan bulanan kasar isi rumah secara purata antara kaum di Malaysia menunjukkan bahawa pada 2012 Bumiputera mempunyai pendapatan dari RM4,457 kepada RM5,548 pada 2014. Bagi kaum Cina pendapatan dari RM6,368 tahun 2012 kepada RM7,666 tahun 2014, kaum India berpendapatan RM5,233 tahun 2012 kepada RM6,246 dan lain-lain kaum iaitu RM3,843 tahun 2012 kepada RM6,011 tahun 2014.

Kumpulan pertengahan pendapatan bulanan kasar isi rumah antara 2012 hingga 2014 menunjukkan Bumiputera dari RM3,282 tahun 2012 kepada RM4,214 tahun 2014, Cina dari RM4,643 tahun 2012 kepada RM5,708 tahun 2014, India dari RM3,676 tahun 2012 kepada RM4,627 tahun 2014 dan lain-lain adalah RM2,762 kepada RM4,372 tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa pendapatan kasar bulanan isi rumah antara 2012 hingga 2014 menjadikan Bumiputera pada kedudukan keempat iaitu RM5,548 diikuti ketiga lain-lain kaum RM6,011, kedua India iaitu RM6,246 dan Cina iaitu RM7,666.

Kedua jika diteliti nisbah ketaksamaan pendapatan kasar bulanan isi rumah antara kaum menunjukkan terdapat jurang perbezaan antara Bumiputera dengan kaum-kaum yang ada di Malaysia. Ketaksamaan antara Bumiputera dengan Cina iaitu 1:1.38, dengan India 1:1.13, dengan lain-lain kaum 1:1.78. Ketaksamaan ini memberitahu bahawa pendapatan Bumiputera adalah lebih rendah dari Cina, India dan lain-lain kaum kerana insiden kadar kemiskinan Bumiputera lebih tinggi di luar bandar iaitu 1.5 peratus berbanding kaum bukan Bumiputera di bandar iaitu 0.3 peratus.

Ketiga, pekali Gini mengikut strata dan kumpulan etnik antara 2012 dan 2014 menunjukkan bahawa pekali Gini bagi Bumiputera adalah dari 0.421 tahun 2012 kepada 0.389 tahun 2014, Cina iaitu dari 0.422 tahun 2012 kepada 0.405 tahun 2014, India dari 0.443 tahun 2012 kepada 0.396 tahun 2014 dan lain-lain kaum iaitu dari 0.435 tahun 2012 kepada 0.433 tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa kesaksamaan pendapatan antara kaum Bumiputera adalah kecil iaitu 0.389 berbanding dengan India, 0.396, Cina 0.405 dan lain-lain kaum 0.433. Ini bermaksud pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera adalah jauh lebih rendah dan hampir sama rata antara satu sama lain. Ini boleh difahami daripada data tahun 2014 bahawa 40 perarus pendapatan terendah adalah Bumiputera iaitu 17.1 peratus dan 40 peratus pertengahan iaitu 37.4 peratus atau 54.5 Bumiputera berpendapatan RM5,190 ke bawah.

Justeru, isu yang dibangkitkan sama ada oleh Hindraf atau Hindraf 2.0 bahawa kaum India tidak mendapat keistimewaan memasuki UiTM tidak seharusnya timbul, kerana peluang untuk mereka turut diberikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di negara ini.

Sebenarnya, seperti Bumiputera yang diberi keistimewaan di UiTM, kaum India juga mempunyai IPTA sendiri. Hindraf atau Hindraf 2.0 atau masyarakat India sepatutnya bertanya kepada MIC yang menjadi parti mewakili kaum India yang terbesar di negara ini.

MIC sebenarnya telah mendapat banyak bantuan daripada kerajaan, tetapi kesan daripada ‘politiking’ dalamannya, masyarakat India menjadi mangsa. Kemudian kaum minoriti ini menyalahkan kerajaan.

Hindraf, yang, jika sekarang ini mendakwa mendapat sokongan majoriti masyarakat India, sepatutnya bertanya kepada MIC mengenai Universiti AIMST; MIED; TAFE Collage; TAFE PJ (dulunya Vanto Academy); dan Maika Holdings.

Semua institusi ini diwujudkan bagi memperkasa kaum India sama ada di sektor ekonomi atau pendidikan. Ia bermula pada 1979 apabila Tun S Samy Vellu mengambil alih kepemimpinan MIC selepas kematian Tan Sri V Manickavasagam, dengan mula mengusahakan idea mewujudkan sebuah syarikat pelaburan untuk MIC.

Sebelum ini, pada 1972, MIC menyediakan biasiswa Tan Sri Manickavasagam, dana untuk membantu pelajar daripada kaum India pada peringkat universiti. Pada 1973, MIC mewujudkan dana pendidikan bagi membantu pelajar pada peringkat sekolah menengah. MIC juga mewujudkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) pada 1984 – sayap MIC – untuk tujuan pendidikan.

Walaupun, skandal menyelubungi dan mencemarkan MIED, mereka mengambil alih dua institusi pendidikan swasta iaitu Negri Institute of Technology (kemudian dinamakan TAFE College) dan Vanto Academy (kemudian dinamakan TAFE PJ). Kedudukan TAFE PJ sekarang menjadi tanda tanya, malah bangunannya kini disewa oleh Stamford College.

MIC juga menubuhkan Maika Holdings pada 1984, sebagai koperasi untuk tujuan membantu sektor pendidikan kaum India dan dan menjadi syarikat yang menjalankan pelbagai aktiviti.

Pada 1985, apabila MIC mengadu tidak mendapat sokongan penuh kerajaan, mereka diperuntukkan 10 peratus daripada saham dalam stesen televisyen swasta pertama di Malaysia – TV3 – dengan sokongan kerajaan.

Saham ini bagaimanapun, dijual pada 1990 untuk mengurangkan beban Maika Holding, selepas syarikat itu terbabit dalam skandal kewangan – Perbendaharaan menawarkan 10 juta saham Telekom kepada MIC, tetapi didapati hanya satu juta saham sahaja sampai kepada Maika Holdings. Baki saham itu dilencongkan kepada dua syarikat RM2.

Demikian serba ringkas peluang pendidikan dan ekonomi yang diberikan kepada masyarakat India di Malaysia. Selebihnya, pemimpin mereka yang ada sekarang ini, terutama Hindraf, wajar mempersoalkan keupayaan Biro Pendidikan MIC yang dilihat gagal membawa masyarakat India setaraf dengan kaum lain.

Bukan mendesak untuk memasuki IPTA yang dikhususkan kepada Bumiputera, mana-mana wakil masyarakat India, sama ada Hindraf, MIC atau pemimpin PH daripada kalangan kaum India, perlu melihat kepada peluang yang telah diberikan sejak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke empat selama 22 tahun.

Penulis simpati terhadap masyarakat India ‘kasta rendah’ di Malaysia yang tidak diberi peluang di dalam MIC, sedangkan mereka adalah golongan majoriti kaum India di negara ini. Peluang mereka bukan sahaja tersekat dalam arena politik tanah air, malah dari segi pendidikan pun, golongan ‘kasta elit’ dalam MIC mendapat lebih keistimewaan.

Penulis menasihatkan kaum India daripada ‘kasta rendah’ ini supaya bertanyakan kepada MIC terlebih dahulu kerana peluang untuk mereka sudah diberikan, bukan mendesak diberi ruang memasuki IPTA yang dikhaskan kepada Melayu dan Bumiputera.

Bangsa Melayu sudah banyak berkorban hak keistimewaannya demi memberi peluang kepada kaum lain di negara ini. Ini termasuk membuka ruang kepada kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), malah kuotanya juga ditambah daripada 10 peratus kepada 30 peratus.

Penulis berharap kerajaan sedia ada, tidak mengubah kedudukan UiTM sebagai IPTA yang hanya dikhaskan kepada Bumiputera, walaupun PH dianggotai pelbagai kaum, selaras manifesto pendidikan PH, juga tidak menyatakan pembukaan ruang kepada bukan Bumiputera untuk memasuki UiTM.

Sehubungan itu, penulis juga berharap kerajaan sekarang memenuhi janji untuk terus memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam, termasuk memastikan kedudukan ekonomi Melayu diperkasakan setiap tahun.

Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Ismaweb.net

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kena mengena dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close