Kata PedangUtama

Pulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kakitangan kerajaan

Ambil tahu sudah senang rakyat, bukan duduk dalam bilik hawa dingin saja

LEPAS Tarawih malam tadi hingga jam lebih kurang tiga pagi, Pedang masih ada di sebuah restoran di Damansara. Jumpa empat lima rakan, sembang-sembang mengenai suasana politik dan ekonomi semasa tanah air.

Kawan Pedang ni bukan kerja tinggi sangat. Salah seorangnya di Putrajaya dan kedudukannya sekarang hanya selangkah lagi untuk menjadi Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), dan seorang lagi usahawan Melayu yang memiliki stesen jana kuasa elektrik sendiri di sebuah negara Asean.

Dua orang yang jauh beza dari segi pekerjaan. Tapi, cukup berminat dalam politik tanah air, malah salah seorang daripada mereka tinggal di sebelah rumah seorang menteri kanan.

Rakan yang rapat dengan ‘orang penting’ negara pun ada. Semua ini, adalah mereka yang berada di kalangan rakyat, yang turun ke bendang, ke pasar beli sendiri ikan, sayur, bukan duduk di kerusi dalam pejabat berhawa dingin. Mereka ini lah yang tahu susah senang rakyat di luar bandar.

Wajah-wajah mereka bukan dikenali ramai, sebab itu mereka mudah bergaul dengan anak muda, orang kampung, orang bandar. Kami bersembang pun di kalangan orang ramai, di restoran terbuka, bukan dalam restoran hawa dingin atau hotel mewah.

Kenapa Pedang ceritakan hal di atas? Sebenarnya, banyak luahan pegawai kerajaan kepada orang atasan sebelum ini tidak dipedulikan. Akibatnya rakyat melihat sisi negatif kakitangan kerajaan, hubungan yang tidak mesra sejak sekian lama, kerana masalah rakyat tidak dipedulikan.

Demikian juga pegawai-pegawai atasan, terutama merekyang dilantik atas dasar politik. Pengarah-pengarah eksekutif lantikan politik di ratusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergaji berbelas atau berpuluh ribu ringgit, tetapi gagal memahami kehendak rakyat.

Hanya ketika hampir dengan rakyat hendak membuat pilihan kerajaan, baru lah muka-muka ini muncul di khalayak. Anjur program, curah wang beratus ribu atau berjuta ringgit, panggil media tunjuk mereka bekerja untuk rakyat.

Masa itulah mereka berkomunikasi. Masa itulah mereka duduk bersila tepi jalan berlubang. Masa itulah mereka mengusung jenazah. Masa itulah mereka masuk ke kebun getah. Masa itu juga mereka sanggup goreng mee di pasar malam, sambil ambil gambar dan tularkan. Lebih teruk apabila ‘menari’ atas pentas!

Akhirnya, orang kampung, orang bandar hilang kepercayaan kepada pegawai kerajaan. Orang seperti rakan-rakan Pedang pun kena tempias. Sedangkan, mereka lah yang bekerja bertungkus-lumus mendekati rakyat, mengharapkan rakyat percaya kepada perkhidmatan mereka.

Kisah ini sebenarnya tidak diketahui ramai. Kisah di mana rakyat memandang negatif terhadap perkhidmatan kementerian, jabatan atau GLC, sejak kebelakangan ini.

Namun, kini, rakyat telah mengubah pentadbiran. Pedang harap keluh kesah rakyat akan didengari. Pedang harap pihak atasan dengar lah kata pegawai yang turun di bawah mendengar kerisauan rakyat, supaya kepercayaan rakyat kepada kementerian dan jabatan atau agensi kerajaan kembali pulih.

Pedang juga nasihatkan pemimpin baharu sekarang supaya lebih banyak turun ke medan sebagaimana masa kempen dulu mereka selalu menjelajah ke seluruh pelosok negara. Kurangkan bercakap, banyakkan kerja.

Pedang pun nak pesan juga kata-kata seorang rakan. “Takkan hari ni kahwin, terus nak dapat anak”.

Salam Ramadan…

Kata Pedang: Dengar cerita sekurang-kurangnya enam KSU dalam perhatian.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net dan segala tulisan Kata Pedang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close