Berita UtamaDr Ahmad Sanusi AzmiUtama

Konsert Radiohead dan garis panduan fatwa

1. KETIKA Abu Bakar melarang dua orang hamba perempuan menyanyi pada hari raya, Rasulullah menegur Abu Bakar dan membiarkan hamba tersebut meneruskan hiburan mereka. Hadith ini menggambarkan terdapat keharusan dalam nyanyian. Namun ianya mesti melalui syarat yang amat ketat. Ini kerana, dalil larangan terhadap perkara ini amat banyak.

2. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membincangkan mengenai Hukum Nasyid dan Pancaragam. Muzakarah telah memutuskan: nyanyian yang didendangkan mestilah mempunyai senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat.

3. Muzakarah juga menetapkan supaya tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dengan perempuan. Pergaulan yang tidak terbatas dicegah bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar berlaku.

4. Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Kedah telah mengeluarkan fatwa mengenai pemakaian alat-alat muzik yang bersifat tradisi atau moden. Minit mesyuarat Jawatankuasa Fatwa No. 5/93 bertarikh 30 Januari 1993 telah merumuskan antara: “tidak disertai perkara-perkara yang haram seperti arak, judi, wanita yang menari serta perkara kefasikan selama tidak melalaikan dari kewajipan-kewajipan khusus, kewajipan agama seperti solat.

5. Pada 2 Mei 2011, Jabatan Mufti Perlis telah mengeluarkan Garis Panduan Acara Persembahan, Konsert dan Hiburan antara lain menegaskan pihak penganjur: “Hendaklah menjemput artis yang berimej baik dan membawa mesej pendidikan kepada masyarakat.”

6. Dalam garis panduan karnival dan hiburan yang keluarkan oleh Mufti Perak pada 16 Jun 2008, Tan Sri Harussani mengingatkan: “Penggiat seni Muslim supaya membentuk industri perniagaan dan hiburan yang tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar.

Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudaratan dan kefasikan mestilah dihalang menurut acuan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW.”

Moga Allah membimbang kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi 
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close