Berita UtamaKata Pedang

Politik Perlis, lagu 10 budak hitam

Krisis UMNO-istana: Kegagalan menjadikan 'Chu' sebagai Menteri Besar

PEDANG dah agak. Apabila terlalu lama masa diambil untuk melantik Menteri Besar Perlis, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Apa lagi masa ‘huru-hara’ untuk memilih bakal calon BN/UMNO sebelum PRU14 lalu, pun Pedang dapat agak ‘huru-hara’ itu akan berterusan selepas PRU.

Huru-hara politik UMNO di Perlis bukan baru. Sejak beberapa penggal lalu sudah berlaku, angkara politiking individu.

Kali ini, huru-hara makin lebih parah apabila membabitkan Tuanku Raja Perlis sendiri – Raja negeri kelahiran Pedang. Dan, terang-terang mengengkari perintah Raja. Melayu mencabar Raja. Sebelum ini, mereka lah yang terpekik mengkritik orang yang ‘melawan’ Raja, tapi sekarang, apabila diri dipentingkan daripada rakyat, mereka sendiri melawan Raja.

Cuba selak balik cerita sebelum PRU yang lalu. Macam-macam hal yang timbul, daripada berebut kerusi, cantas kaki kawan, salam kalih, hinggalah BN/UMNO hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen.

Sebelum ini, walaupun istana tidak campur urusan politik, Pedang ada dengar-dengar juga istana ada bagi pendapat demi rakyat, tetapi Badan Perhubungan UMNO Negeri buat tak peduli.

Pedang pun pernah tulis isu pemimpin UMNO Perlis berebut nak jadi calon, nak jadi wakil rakyat. Baca ‘UMNO Perlis berebut kerusi, kuasa dan wang jadi buruan‘.

Perlis bukannya besar mana pun. Tiga negeri Perlis sama dengan satu kawasan Parlimen di Pahang atau Terengganu. Tapi, masya-Allah, politik UMNO di Perlis, bagai negeri kena serang garuda, hingar-bingar, huru-hara. Kerana apa? Untuk mengekalkan empayar.

Macam lagu ’10 budak hitam’, walaupun berjaya mengekalkan 10 kerusi DUN, tapi sekarang sudah tinggal sembilan, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Datuk Azlan Man, yang mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dipecat serta-merta daripada UMNO, berkuat kuasa semalam.

Malah, pada majlis mengangkat sumpah Menteri Besar itu, sembilan calon UMNO yang menang pada PRU lalu dan menjadi ‘pak turut’ kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim, enggan hadir. Memboikot majlis yang dijemput oleh Raja Perlis, memboikot majlis yang Raja Perlis sendiri menjadi tuan rumah.

Raja Perlis sendiri sudah buat kenyataan berhubung ‘sembilan budak hitam’ ini.

“Ini adalah kepentingan sesetengah puak, segan untuk saya sebut nama tetapi tuan-tuan pun tahu siapa. Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir.. sebab apa (tidak hadir) saya pun tidak tahu, sedangkan jemputan dibuat dua hari lalu dan mereka masih berada di Perlis ketika itu.

“Sekarang mereka berada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi menaiki kapal terbang.. ini berdasarkan laporan yang saya terima,” titah baginda di Istana Arau, semalam.

Layakkah mereka dipanggil wakil rakyat? Apa yang pengundi mereka ini mampu kata apabila wakil rakyat yang mereka lantik, sekarang ini telah menentang kehendak Raja, telah mengetepikan Raja Berdaulat yang menjadi tonggak sesebuah negeri?

Memang kalau ikutkan kenyataan Shahidan, Raja tidak boleh campur tangan dalam pelantikan Menteri Besar. Tapi Raja juga ada hak untuk memberi pendapat, membuat pilihan siapa yang dikehendaki. Adakah UMNO menganggap Raja sebagai patung? Tidak boleh bersuara demi rakyat di bawah jajahan tadbir baginda?

Pedang boleh terima jika menyanggah pendapat Raja bukan bererti menentang Raja. Tapi, masing-masing sudah dewasa. Kalau sudah menunjukkan sikap tidak menerima kata-kata Raja, tidak hadir di majlis yang Raja sendiri jemput, memboikot majlis dihadiri Raja, melakukan tindakan yang boleh menyebabkan air muka Raja jatuh di kalangan rakyat Perlis dan rakyat negeri lain, Pedang rasa ini sudah lebih.

Sekarang, apabila Azlan sudah dipecat, bermakna beliau menjadi Adun Bebas. Akibat krisis politik UMNO dengan istana – hanya kerana gara-gara untuk meletakkan adik sendiri menjadi Menteri Besar – maka, Perlis sekarang ini menjadi negeri pertama memiliki Menteri Besar Bebas.

Pedang ingin katakan bahawa mereka yang menang pada PRU lalu masih belum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kerana mereka belum mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di hadapan Speaker yang juga belum dilantik.

Selepas ini, banyak masalah akan timbul, termasuk pelantikan Ahli Exco Kerajaan Negeri. Sekarang UMNO ada sembilan kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu, manakala Pakatan Harapan (PH) tiga, PAS (dua) dan Bebas satu (Azlan).

Azlan boleh melantik empat atau lima pemimpin PH dan PAS yang menang itu menjadi Ahli Exco dengan mengecilkan portfolio pentadbiran. Langkah ini boleh dibuat untuk membentuk kerajaan perpaduan demi kebaikan rakyat Perlis. Pada 2008 pun, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mat Isa Sabu pernah menjemput Adun PAS menjadi Ahli Exco.

Isu Speaker dan Timbalan Speaker tidak timbul kerana Azlan boleh melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Speaker DUN, sebagaimana yang dilakukan pada 2013 apabila bekas Pengarah Kemas Perlis, Hamdan Bahari, dilantik menjadi Speaker. Malah, ia diperuntukkan dalam Perkara 56 (1) (1B) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Dan, buat masa sekarang, sembilan ahli UMNO yang menang itu, masih tidak dapat berbuat apa-apa. Hendak mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar juga tidak boleh kerana mereka belum mengangkat sumpah sebagai anggota DUN Perlis. Hendak menghantar petisyen kepada Raja Perlis juga janggal kerana baginda sendiri menerima pelantikan Azlan.

Mahu tidak mahu, ‘sembilan budak hitam’ ini terpaksa menunggu sehingga Bahagian Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis menjalankan segala urusan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan, yang dilaksanakan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan/atau Peraturan-Peraturan dan Perintah-perintah Dewan Undangan Negeri, bagi jawatan Speaker DUN dan Ahli Exco.

Kemudian, barulah semua pemenang PRU14 akan dipanggil untuk mengangkat sumpah sebagai Adun Perlis di hadapan Speaker di dewan mesyuarat DUN Perlis. Mahukah mereka mengangkat sumpah?

Pedang rasa semua ‘sembilan budak hitam’ ini akan hadir untuk mengangkat sumpah, tetapi dengan satu matlamat iaitu akan mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar atau pentadbirannya. Ini kerana mereka mempunyai kerusi majoriti di dalam DUN.

Dan, episod baru ‘permainan’ oleh pemimpin UMNO akan dimulakan sekali lagi, dengan mahu melantik calon yang mereka kehendaki menjadi Menteri Besar, walaupun Raja Perlis sendiri telah menolaknya baru-baru ini.

Permainan seperti ini sebenarnya merugikan rakyat Perlis, negeri kecil yang kekurangan sumber pendapatan, yang hanya mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat. Dan, Kerajaan Pusat pula kini bukan lagi BN, tetapi PH.

Tetapi, jika mereka tidak hadir pada majlis angkat sumpah sebagai anggota dewan, lain pula jadinya. Mungkin, silap-silap satu pilihan raya kecil serentak di sembilan kerusi akan diadakan. Perkara ini perlu dilihat di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dan perkara-perkara berhubung kait dengan urusan pilihan raya.

Pedang peringatkan sembilan individu yang memboikot majlis Raja Perlis dan majlis pelantikan Menteri Besar supaya berfikir semula demi rakyat. Kepentingan beribu-ribu rakyat atau demi seorang individu yang mahu mengekalkan empayar politik?

Terlajak perahu boleh diundur. Jika tiada harga diri dan tiada pendirian, pergilah angkat sumpah, tapi jika tetap dengan pendirian dan ada harga diri, kosongkan kerusi dimenangi mengikut Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, supaya rakyat boleh buat pilihan mereka sekali lagi. Pada PRU14 lalu, 13 kerusi DUN ditandingi UMNO mendapat sokongan daripada 42,543 pengundi sahaja.

Sekarang ini siapa yang sembilan pemimpin UMNO yang menang itu hendak dahulukan? Rakyat Perlis? 42,543 pengundi yang memangkah mereka? Atau seorang individu penyebab krisis ini berlaku dan mengheret bersama mereka supaya tidak menghormati Raja Perlis?

Kata Pedang: Sepuluh budak hitam, main tepi jalan, satu lari pulang yang tinggal sembilan. Lepas ini???

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net dan segala tulisan Kata Pedang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close