Berita UtamaUtama

Persatuan bas minta kerajaan kaji semula pembubaran SPAD

SPAD berfungsi tingkat mutu perkhidmatan


KOTA BHARU, 9 Ramadan 1439H, Jumaat – Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan untuk memansuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Che Ibrahim Che Ismail berkata, SPAD telah berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas ekspres melalui penguatkuasaan dan pematuhan kepada syarat-syarat operasi seragam.

“Walaupun terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan oleh SPAD seperti isu tambang, agensi ini telah memainkan peranan untuk memastikan hanya pengusaha tulen dan berdaya saing serta memberikan perkhidmatan berintegriti sahaja dibenarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar SPAD beroperasi di bawah Kementerian Pengangkutan dengan mengekalkan struktur operasinya.

“SPAD mempunyai pelan yang jelas tentang pembangunan pengangkutan awam yang seragam dan memansuhkan sepenuhnya struktur ini hanya akan menyebabkan industri bas ekspres khususnya kembali kepada era sebelum kewujudan agensi ini.

“Contohnya kawalan tidak seragam oleh pelbagai agensi selia menyebabkan pelbagai masalah dalam operasi,” katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama mengumumkan beberapa agensi dibubarkan iaitu SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close